Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Menyorot perjuangan hak tukang cuci hospital

WAWANCARA | Terdapat suatu lagi kumpulan pekerja kesihatan di hospital kerajaan yang tidak kurang penting peranannya ketika negara berhadapan wabak Covid-19.

Mereka mempertaruhkan nyawa mereka terhadap risiko jangkitan Covid-19 bagi memastikan pesakit dan staf perubatan berada dalam persekitaran yang bersih dan bebas kuman ketika berjuang melawan wabak itu.

Tukang cuci yang bertugas di hospital ialah wira tidak didendang tetapi mereka menerima faedah dan hak pekerjaan yang sedikit. 

Misalnya, tukang cuci mendapat gaji yang sama RM1,200 sebulan  tanpa mengambil kira senioriti pekerja baru atau veteran. Elaun dan faedah selebihnya tergantung kepada kontraktor yang mengambil mereka bekerja.

Rita Santaran (gambar judul, atas) bertekad memperjuangkan hak pekerja untuk tukang cuci, namun dia telah kehilangan pekerjaan sewaktu peralihan kontrak dibuat.

Kontraktor baru, UEM Edgenta bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa Rita telah ditawarkan peluang untuk meneruskan pekerjaannya.

Bekas pengerusi kesatuan sekerja tukang cuci hospital di Perak yang juga ibu tunggal kepada empat anak itu menyara keluarganya dengan gaji bulanan (selepas ditolak) kira-kira RM1,000.

Rita mula bekerja di hospital kerajaan sejak November 2011 ketika anak lelaki bongsunya berumur tiga tahun dan anak sulungnya berumur 12 tahun.

Dia pernah bekerja di pasar raya, kilang dan sebagainya. Selepas melahirkan anak, Rita membuat keputusan untuk bekerja di hospital yang lebih dekat berbanding dengan kilang.

“Lebih mudah untuk saya kalau saya kena hantar anak-anak ke sekolah atau balik rumah untuk jumpa mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika era permulaan negara, tukang cuci adalah sebahagian daripada penjawat awam. Keadaan ini berubah di bawah pemerintahan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan dasar penswastaan negara pada 1983.

Ketika itu, kerajaan menetapkan perkhidmatan sokongan ‘bukan profesional’ agensi awam diletakkan di bawah kontraktor swasta - termasuklah kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

Selama sembilan tahun, Rita memerah keringat menjadi pekerja kontrak kepada tiga kontraktor berbeza dan hanya satu sahaja yang menaikkan gajinya sebanyak RM50 pada 2015.

Apabila kontraktor atau subkontraktor berubah, pekerja di hospital akan diserap masuk sebagai ‘pekerja baru’ walaupun sebahagian mereka telah bekerja di hospital yang sama untuk 10 hingga 20 tahun.

Ini bermakna jumlah cuti tahunan terkumpul, bonus dan dan elaun kesihatan tidak akan dikira di bawah kontraktor baru.

“Kalau saya nak beli rumah, slip gaji saya kurang diterima berbanding pekerja tetap sebab bank akan risau saya mungkin akan hilang kerja dan tidak dapat bayar pinjaman selepas dua atau tiga tahun.

“Saya pernah tanya bos dalam mesyuarat, ‘Kenapa kami jadi pekerja kontrak?’ Dia jawab kerajaan yang lancarkan program ini untuk bagi peluang kepada kontraktor jadi maju.

“Soalan saya, kalau semua kontraktor nak maju, bagaimana dengan kami, pekerja?” Jelas Rita.

Kerjaya sebagai tukang cuci 

Rita selalunya menghabiskan paginya dengan melakukan rutin harian di rumah, membasuh pakaian, mengemas, memasak dan menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Selepas itu, dia akan ke hospital dan berulang alik di pelbagai jabatan. Syif Rita bermula pada jam 3 petang dan berakhir pada 11 malam atau 11 malam hingga tujuh pagi.

Dalam seminggu, dia cuma diberikan cuti selama satu dan setengah hari sahaja.

Dia masih perlu bersedia untuk sebarang kecemasan walaupun ketika masa rehatnya selama sejam. Jika terdapat pesakit yang muntah, mengalami pendarahan atau terkencing di katil, tukang cuci perlu bergegas segera pergi ke wad dan membersihkan kotoran secepat mungkin.

“Kalau mereka tak dapat cari kami, mereka akan mengadu di pejabat dan kami akan dapat surat amaran,” jelas Rita.

Kerja pembersihan di hospital adalah berbeza dengan bank, sekolah dan ruang pejabat yang lain.

Menurut Rita, terdapat prosedur yang ketat untuk diikuti dalam kerja pembersihan termasuk sesetengah bahan pencuci atau serbuk digunakan terlebih dahulu dan juga jenis mop tertentu yang akan digunakan.

Walaupun majikan menyediakan pakaian perlindungan peribadi tertentu seperti sarung tangan dan topeng muka, kadang kala ini tidak mencukupi buat mereka.

Bekerja dalam hospital bermakna mereka berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk dijangkiti oleh penyakit yang tidak diketahui.

“Kita tak tahu penyakit apa yang pesakit ada. Mungkin penyakit berjangkit dan sisa yang kami bersihkan, air kencing, muntah, semua ini boleh menyebabkan penyakit itu merebak.”

Dua tahun lalu, Rita dan beberapa rakan sekerjanya dijangkiti penyakit kayap (herpes zoster) selepas membersihkan darah pesakit dialisis.

“Pakcik itu berdarah banyak sangat, kerusi penuh dengan darah, saya kena bersihkan. Waktu itu, saya pun kurang sihat, saya batuk. Tak lama selepas itu, saya dijangkiti penyakit itu.

“Ia merebak ke belakang badan dan tangan saya sampai saya tak boleh angkat salah satu tangan saya,” katanya.

Rita mengambil masa sebulan untuk pulih dari penyakit itu dan sehingga kini, dia mengalami masalah kulit.

Rita perlu membayar RM1 untuk bayaran rundingan di hospital dia bekerja, walaupun majikan memberikan elaun kesihatan sebanyak RM200.

Dia turut berkata elaun diberikan adalah sedikit jika dibandingkan dengan keadaan mereka yang sentiasa terdedah kepada penyakit.

Dibuli majikan lepas kematian suami

Empat tahun lalu, suami Rita meninggal secara mengejut, selepas sebulan mengalami demam panas, meninggalkan dirinya sebagai ibu tunggal untuk menyara anak-anak.

Kesedihan itu, dicampur dengan tekanan untuk menyara keluarga, menjejaskan prestasi kerjanya dan penyelianya menukar tempat Rita bekerja ke bangunan yang lebih besar.

“Saya bekerja di Jabatan Kecemasan di hospital itu sebelum ini dengan waktu bekerja tetap. Saya dipindahkan ke asrama pelajar. Bangunan besar dengan lebih banyak kerja yang perlu dilakukan dan hampir tiada siapa untuk bercakap. Itu membuatkan trauma saya lebih serius,” katanya lagi.

Selepas Rita memprotes tindakan itu, penyelianya bersetuju untuk menukar semula tempatnya – dengan syarat dia mengorbankan waktu kerja tetapnya kepada bekerja mengikut syif.

“Dia tahu saya baru jadi ibu tunggal, dan kalau saya kerja syif malam, tiada siapa yang akan jaga anak saya. Saya tiada pilihan selain untuk terima.”

Setelah menerima layanan yang tidak baik untuk beberapa tahun, Rita sedar bahawa sistem kontrak mengeksplotasi pekerja.

Dia menjadi berani untuk bersemuka dengan majikannya untuk mempertahankan hak pekerja itu.

“Dalam mesyuarat mereka akan marah kita dan cakap dengan kita macam kita ini orang bawahan sangat, suruh kami 'pergi dan mati'. Saya beritahu mereka, mereka sebagai pemimpin, tak patut cakap macam ini. Ia tak adil.

“Kawan-kawan sekerja anggap saya garang, sebenarnya tak. Sudah 2020, kita kena jadi lebih baik. Kalau kita senyap, kita tak akan dapat hak kita.”

Titik permulaan Rita melawan sistem, majikan dan pihak berkuasa itu adalah sewaktu beliau mula-mula menyertai kesatuan untuk memperjuangkan hak pekerja-pekerja di hospital ini.

Pada 2016, M Sarasvathy, timbalan presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) ketika itu, berjumpa dengan tukang cuci di hospital kerajaan di tempat Rita bekerja, untuk menerangkan rancangan menubuhkan kesatuan pekerja.

Rita dan beberapa rakan sekerja yang lain membuat keputusan untuk menyertai kesatuan itu, yang pada ketika itu, belum berdaftar secara rasmi.

“Saras (Sarasvathy) beritahu kami tujuan untuk bentuk kesatuan, untuk bantu pekerja. Disebabkan kami menjadi pekerja kontrak untuk tempoh masa yang lama dan majikan tak memberi layanan yang sepatutnya, tiada kenaikan gaji, dia cadangkan kami masuk kesatuan itu.

“Dan kami pun masuk, walaupun kesatuan itu belum berdaftar ketika itu. Sudah tentu, penyelia kami tidak suka.”

Rita yang sentiasa tidak gentar ketika bersemuka dengan majikannya, dilantik menjadi pengerusi kesatuan untuk cawangan hospital itu.

Lebih daripada separuh tukang cuci menyertai kesatuan itu.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) telah ditubuhkan pada 1997 tetapi tidak diketahui sehinggalah PSM mengaktifkan semula kesatuan itu pada 2016.

Saras dan rakan-rakannya pergi ke 22 hospital di bahagian utara Malaysia untuk menerangkan konsep kesatuan kepada tukang cuci, membantu mereka untuk menubuhkan kesatuan sekerja sendiri di setiap hospital.

Hospital kerajaan tempat Rita bekerja mempunyai 47 tukang cuci. Setakat Disember lalu, 37 daripadanya sudah menyertai kesatuan itu. Rita dan rakan-rakannya membincangkan keadaan pekerja dibawah sistem kontrak.

“Kami selalu berbincang masalah kami dalam kesatuan. Kebanyakan kami ada kesedaran. Apa kata kita tuntut hak kita, minta untuk hapuskan sistem kontrak?”

Pertengahan tahun lalu, sebuah dokumentari bertajuk “Bila Kami Bersatu” diterbitkan yang memaparkan kesukaran harian yang dilalui oleh kesatuan tukang cuci hospital.

Selepas mesyuarat dan persediaan selama bertahun, kesatuan itu mula berbincang panjang bersama kontraktor ketika itu untuk mendapatkan kenaikan gaji dan faedah asas seperti cuti dan elaun dengan akhirnya satu persetujuan bersama (CA) ditandatangani pada Oktober 2019.

38 daripada 43 tuntutan yang disenaraikan oleh kesatuan telah diterima oleh pihak majikan, kecuali yang melibatkan wang seperti bonus dan kenaikan. Ia satu detik yang berharga buat mereka.

Namun, pekerja-pekerja itu dimaklumkan bahawa mereka akan diletakkan di bawah subkontraktor yang baru lagi, pada tahun ini.

Subkontraktor baru itu, Edgenta UEMS, bertanggungjawab terhadap kerja pembersihan di 32 hospital di bahagian utara Malaysia dan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), UEM Edgenta.

Untuk rekod, UEM Group dimiliki sepenuhnya oleh syarikat subsidiari Khazanah Nasional Berhad sejak 2001.

Menurut Rita, sebelum peralihan tersebut berlaku secara formal, subkontraktor baru itu mengarahkan tukang cuci untuk mengisi borang permohonan kerja yang baru.

Dalam erti kata lain, tukang cuci yang sudah bekerja selama bertahun-tahun akan diserap masuk sebagai ‘pekerja baru’.

Selain itu, majikan berkenaan turut berkata ‘pekerja baru’ perlu menghadiri sesi temu duga dan mereka yang lulus akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan. Mereka yang tidak boleh membaca atau menulis akan dibuang.

Syarikat itu turut menolak perjanjian kolektif bersama-sama dengan kontraktor terdahulu dan berkata kesatuan tersebut ‘terbubar’ secara automatik apabila syarikat itu mengambil alih.

Tegang selepas protes

Kesatuan itu kemudiannya menggerakkan kira-kira seratus tukang cuci daripada beberapa hospital di utara Malaysia untuk melakukan protes di hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. Rita ialah salah seorang penggeraknya.

Mereka berhimpun di hadapan KKM, meminta untuk berjumpa dengan menteri kesihatan ketika itu, Dr Dzulkefly Ahmad.

Berkongsi pengalaman berdemonstrasi, Rita yang sememangnya berani dan nekad berkata, dia langsung tidak berasa gemuruh.

“Kalau saya tak buat salah, saya tak akan takut,” jelasnya.

Selepas beberapa jam, Dzulkefly menerima memorandum mereka dan membenarkan wakil kesatuan itu untuk bertemu dengan pegawai menteri.

Kata Rita, salah seorang pemimpin berprofil tinggi daripada subkontraktor baru turut hadir dan berjanji kepada kesemua tukang cuci bahawa mereka akan menjadi pekerja tetap dan mereka yang berdemonstrasi tidak akan dibuang.

Kesudahannya, pekerja tidak perlu untuk mengisi borang permohonan kerja atau menjalani tempoh percubaan, tetapi mereka sedar faedah mereka telah dipotong selepas mendapat surat tawaran.

Oleh itu, ramai daripada mereka menandatangani surat tawaran itu dengan nota – "Terima dengan bantahan" untuk menyuarakan rasa tidak puas hati.

Selepas itu, wakil daripada kesatuan, Edgenta UEMS dan KKM berjumpa beberapa kali untuk berbincang mengenai masalah itu.

Bagaimanapun, Rita berkata dia dan lima rakannya yang lain tidak mendapat surat tawaran kerja yang baru dan empat daripada mereka berenam telah menyertai demonstrasi di Putrajaya.

Ketika ini, Rita sudah tidak bekerja selama empat bulan. Dia juga hilang pekerjaan sambilannya ekoran daripada penularan Covid-19.

Katanya, dia percaya alasan dirinya diberhentikan bertujuan untuk mengekang kegiatan kesatuan sekerja itu.

Lapor polis, adu ke Jabatan Hubungan Perusahaan

Bagaimanapun, jelasnya, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk menyertai kesatuan itu.

“Hanya ketika kesatuan itu cukup kuat, baru kami akan dapat apa yang selayaknya.”

Ahli-ahli kesatuan itu yang masih bekerja kini melakukan sumbangan kepada rakan-rakan mereka yang tidak bekerja dapat menerima sehingga RM200 sebulan.

“Jika tidak kerana kesatuan itu, saya rasa tiada siapa yang akan bantu.”

Rita dan beberapa pekerja lain membuat laporan polis dan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan pada 3 Januari 2020 berhubung isu pemberhentian kerja secara tidak adil.

Menurutnya, selepas protes di Putrajaya, pekerja yang aktif dalam kesatuan mula menjadi sasaran oleh majikan. Jadual dan tempat mereka bekerja telah ditukar.

Apa yang menyedihkan, katanya beberapa orang rakan sekerjanya yang bukan ahli kesatuan memberi maklumat kepada majikan mereka mengenai aktiviti kesatuan itu.

“Penyelia saya tanya, apa yang saya akan dapat dengan sertai kesatuan itu. Saya jawab saya akan dapat hak saya dan dia berhenti bertanya kepada saya.

"Tapi dia cakap dengan kawan-kawan saya, jangan jadi macam saya, nanti mereka akan hilang kerja.”

Walaupun menghadapi pelbagai kesusahan, penubuhan kesatuan sekerja itu telah berjaya menggoncang struktur sistem pekerjaan kontrak yang kelihatan tidak dapat diubah dan cuba memperbetulkan hubungan tidak adil antara mandur dan pekerja.

Rita mengingat semula sebelum kesatuan dibentuk, jawapan untuk semua aduan selalunya berbunyi: “Awak boleh berhenti kalau tak suka.”

Ataupun, katanya tiada sebarang jawapan diberi.

“Selepas kesatuan dibentuk, penyelia kami lebih berhati-hati dan bertindak untuk aduan kami.

"Mereka akan cakap jangan mengadu kepada kesatuan, nanti kesatuan akan hantar surat untuk perjuangkan hak pekerja,” katanya lagi.

UEM Edgenta: Komited beri jaminan pekerjaan

Ketika menjawab dakwaan Rita, UEM Edgenta memberitahu Malaysiakini tidak ada cubaan dilakukan untuk mengetepikan atau memberhentikan keenam-enam pekerja itu.

UEM Edgenta turut menambah pekerja terbabit yang menolak tawaran pekerjaan itu tanpa nota: "Terima dengan bantahan."

“Penyelia-penyelia Edgenta UEMS telah berjumpa dan memujuk mereka untuk mempertimbangkan penerimaan tawaran itu. Bagaimanapun, keenam-enam mereka menolaknya.

“Oleh itu, jawatan tersebut diberikan kepada pemohon lain untuk memastikan operasi tidak tergendala di hospital berkenaan.”

Menurut kenyataan itu, UEM Edgenta telah menawarkan status pekerja tetap kepada mereka yang akan memberikan mereka faedah dan nilai tambahan.

“Tujuannya untuk memberikan pekerja pembersihan jaminan pekerjaan dan memudahkan mereka untuk memohon kemudahan perbankan seperti pinjaman.”

“Dalam 2,200 individu, majoriti daripada mereka adalah pekerja untuk kontraktor terdahulu, telah menerima tawaran pekerjaan itu tanpa syarat dan direkrut menjadi pekerja tetap baharu untuk Edgenta UEMS," jelas syarikat itu.

Tambahan pula, syarikat itu turut menjelaskan mereka tidak terikat secara undang-undang dengan perjanjian kolektif (CA) yang dibuat oleh kesatuan sekerja tersebut dengan kontraktor terdahulu, NS Medik Sdn Bhd.

UEMS Edgenta memberitahu ia bukan penerima pindahan, pemegang serah hak, pemegang seterusnya seperti yang dinyatakan dalam perjanjian kolektif antara majikan dan pekerja itu.

“Ini bukan ambil alih atau pemerolehan, juga bukan perubahan dalam pemilikan perniagaan. Edgenta UEMS adalah identiti berasingan dan tidak mempunyai hubungan dengan NS Medik Sdn Bhd.”

Walaupun Rita berhadapan liku-liku dalam membela hak pekerja, Rita tidak pernah berhenti berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.

Dia turut meluahkan kesukaran mengenai anak lelakinya yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal tahun depan.

“Saya sepatutnya hantar dia ke kelas tuisyen, tapi saya tak kerja dan tak mampu,” katanya.

Salah seorang anak perempuannya pula sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan kini bekerja secara sambilan di sebuah stesen minyak.

“Dia akan tolong perbelanjaan rumah, tapi saya nak dia simpan duit. Dia dah nak masuk kolej dan saya patut bersedia untuk itu sekarang, tapi disebabkan saya tak bekerja, saya tak boleh tolong sangat.”

Ditanya sekiranya dia mempertimbangkan untuk bertukar kerjaya, Rita berkata sejak dua tahun lalu, dirinya mula mengusahakan perniagaan dalam talian menjual pakaian dan barang runcit.

“Walaupun untung tak tetap, ia tetap satu cara untuk saya dapatkan makanan untuk keluarga ini.”

Ibu beliau turut mencadangkannya untuk membuka gerai menjual makanan kerana minatnya terhadap perniagaan.

“Ibu saya boleh buat kuih-muih, ia resipi keluarga. Tapi perlu modal juga untuk mula perniagaan, jadi kami masih memikirkannya,” katanya lagi.

Kini, Rita sedang menunggu maklum balas mengenai aduannya kepada Jabatan Perhubungan Perushaan.

“Sudah tentu, jika boleh saya mahu bekerja semula di hospital. Mungkin saya takkan bekerja lama di situ kerana pendapatannya tak cukup untuk saya.

“Bagi saya, perjuangan harus diteruskan. Saya nak buktikan kami, kesatuan sekerja itu boleh menang,” katanya.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS