Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk mengadu nak buang sampah pun tak boleh
Diterbitkan:  Apr 22, 2020 11:07 PM
Dikemaskini: 3:11 PM

Penduduk di salah sebuah blok pangsapuri yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur mengadu kekurangan makanan dan maklumat sejak perintah itu dilaksanakan tiga hari lalu.

Penduduk Sri Murni Fasa 2, Ramesh Kumar memberitahu KiniTV bahawa 75 peratus penduduk masih menunggu bantuan minyak masak, beras dan gula.

"Semalam mereka mengedarkan makanan di Fasa 3, tetapi tiada untuk Fasa 1 dan Fasa 2. Saya tak tahu mengapa.

"Kami tunggu sehingga sekitar jam 9 dan tidak ada berita, tetapi ada gambar (bantuan makanan) datang,"katanya dalam satu rakaman video hari ini.

Ramesh berkata sejak PKPD dilaksanakan Isnin lalu, pintu masuk ke blok di rumahnya diletakkan pagar kawat berduri dan penduduk diminta duduk di rumah serta tidak turun dari kediaman mereka.

"Kami tidak dapat keluar, dan kami tak dapat buang sampah. Keadaan semakin teruk,"katanya.

Beliau berkata beberapa penduduk terpaksa membuang beg sampah ke atas kawat berduri untuk dimasukkan ke tong sampah. Satu rakaman video mengenai perbuatan itu juga tular.

Penduduk lain di Fasa 2 Sri Murni yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Tim, berkata penduduk juga kekurangan maklumat mengenai bantuan makanan.

"Hari ini hari ketiga, dan sampai sekarang kami tak dapat sebarang maklumat mengenai bantuan.

"Tadi saya dengar akan ada makanan kering yang boleh diambil lepas ni. Itu hanya akan tahu bila dah diberi, sebab saya pun tak pasti," katanya.

Katanya walaupun saudara maranya cuba menghantar barangan runcit, mereka dihalang daripada memasuki kawasan tersebut.

Beliau kemudian menerima 5kg beras, 2kg minyak, dan 1kg tepung pada jam 8.30 malam.

Kawasan perumahan berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur itu diletakkan di bawah PKPD sejak tengah malam 20 April lalu, selepas 28 kes jangkitan Covid-19  termasuk satu kematian dilaporkan di kawasan itu.

Perintah sehingga Mei 3 itu memberi kesan terhadap sebahagian besar pekerja asing dan pelarian yang bekerja di pasar berkenaan, yang akan dibuka semula Jumaat ini.

Sejak PKPD dilaksanakan, Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur berkata mereka yang tinggal di situ akan mendapat makanan empat kali sehari.

Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran berkata beliau juga menerima panggilan daripada penduduk di Taman Sri Murni yang mengadu kekurangan makanan. 

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai perkara itu malam ini.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Dahlan memberi jaminan bahawa penghantaran makanan akan dibuat.

Lihat Komen
ADS