Kerajaan melalui pihak berkuasa agama dicadang membenarkan pelaksanaan solat Jumaat minimum empat orang jemaah di masjid ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, berkata umat Islam sudah lima kali tidak menikmati keistimewaan solat Jumaat.
Beliau berkata, solat Jumaat boleh diadakan secara minimum dengan empat orang termasuk imam dengan mematuhi segala peraturan bagi menghindari jangkitan Covid-19 termasuk menjaga penjarakan sosial, penggunaan topeng muka selain memastikan masjid bebas ancaman virus.
"Solat Jumaat minimum empat orang termasuk Imam dibenarkan berdasarkan kepada qaul qadim Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, al-Laitsi, al-Tsauri, Ibn Munzir, al-Auzaie, Abu Tsur, al-Azra’ei dan merupakan pendapat pilihan Imam Suyuthi.
"Dari segi kaedah fekah, sesuatu yang tidak mampu dibuat kesemuanya tidak ditinggalkan kesemuanya.
"Maksudnya, jika kita tidak mampu menunaikan solat jumaat seluruh negara atau negeri maka kawasan yang bebas wabak perlu diberi kebenaran untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid secara minimum," katanya dalam satu tulisan yang dihantar kepada Malaysiakini, hari ini.
Jelas Zamihan (gambar bawah) kehadiran empat orang jemaah termasuk imam boleh ditambah dengan kehadiran Sultan selaku ketua agama bagi negeri, menteri besar, anggota Parlimen ataupun Adun dengan kawalan keselamatan.
"Yakni dgn kehadiran empat orang jemaah termasuk imam.
"Atau boleh ditambah dengan kehadiran Tuanku Sultan, menteri besar, anggota parlimen atau Adun dengan kawalan istimewa," katanya.
Malaysia kini dalam fasa ketiga PKP bagi memutuskan penularan rantaian Covid-19 di negara ini.
PKP pada awalnya bermula 18 Mac dan dijadualkan berakhir pada 31 Mac lalu.
Bagaimanapun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan pelaksanaan PKP sehingga 28 April ini.
Selaras sengan pelaksanaan PKP, sebarang aktiviti keagamaan termasuk perhimpunan, solat berjemaah, pernikahan ataupun kuliah agama tidak dibenarkan.
Malah, umat Islam yang akan menyambut ketibaan Ramadan esok juga tidak dapat menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah.
Solat Jumaat boleh dilakukan di rumah
Zamihan turut menyarankan agar pihak berkuasa membenarkan umat Islam yang mempunyai keluarga besar dengan empat orang lelaki mukallaf iaitu, baligh, berakal dan telah sampai dakwah kepadanya untuk menunaikan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Majlis agama Islam negeri hendaklah menyediakan teks khutbah yang santai dan memberi fokus kepada penyelesaian wabak menurut perspektif Islam.
"Jika masjid seluruh negara tidak dibenarkan menunaikan solat jumaat akibat ancaman wabak maka kerajaan perlu membenarkan rakyat menunaikan solat Jumaat di rumah dengan bilangan minima empat orang lelaki termasuk imam.
"Jika kita dibenarkan bergerak ke pejabat, pasar raya, kedai runcit dan ke premis makanan segera dalam keadaan ‘darurat terkawal’ maka pergerakan kita ke masjid dan surau lebih utama dari segi fizikal dan spiritual," katanya.
Jelasnya lagi, ancaman wabak semakin menurun dengan kadar pesakit yang sembuh sudah mencapai 3,452 orang, iaitu kadar 62 peratus daripada keseluruhan kes.
"Jadi idea mendirikan Jumaat ini sesuai dengan kaedah fekah, kemudaratan itu ditentukan dengan tahap ancamannya. Yakni apabila kita dalam keadaan bahaya maka hukum ‘azimah (asal) bertukar menjadi rukhsah (keringanan)," jelasnya lagi.