Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKP dilanjutkan 2 minggu lagi
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 8:36 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung malam ini.

"Saya ingin mengumumkan PKP yang dijangka berakhir pada 28 April akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei," katanya.

Jelas Muhyiddin, dalam tempoh itu, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menentukan langkah seterusnya.

PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19. Ini merupakan kali ketiga ia dilanjutkan.

Sementara itu, Muhyiddin juga menyorot bahawa PKP juga kemungkinan dilanjutkan lagi sehingga Aidilfitri.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

"Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun, kata perdana menteri, sekiranya kes Covid-19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.

"Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa. Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini," katanya.

Dalam perutusan khasnya malam ini, Muhyiddin turut mengulangi pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Ia berhubung keputusan kerajaan memutuskan untuk memberikan sedikit kelonggaran kepada pelajar yang terperangkap di kampus dan kebenaran perjalanan sekali untuk warga yang terperangkap di kampung ketika PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa ia hanyalah "sedikit kelonggaran" dan perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar.

"Pelaksanaan kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi Covid-19," katanya

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 5,603 kes kumulatif Covid-19, dengan 3,542 atau 63.2 peratus daripada jumlah keseluruhan sudah pulih. Ini bermakna kes aktif di Malaysia 1,966 kes.

Setakat ini, 95 kematian berkaitan wabak itu direkodkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS