mk-logo
Berita
Dilema Umno adalah ancaman besar buat Bersatu

BAHAGIAN 2 | Kepemimpinan Bersatu menyedari kedudukan politik mereka yang rapuh. Keutamaan jangka pendek Bersatu adalah untuk memastikan kestabilan kerajaan sekarang.

Mereka akan menawarkan kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi lain kepada backbenchers Perikatan Nasional (PN) untuk menjamin kesetiaan masing-masing.

Mereka akan terus cuba 'menarik' anggota parlimen pembangkang untuk bekerjasama bersama PN dengan pelbagai tawaran.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan terus meminta 'restu' Dr Mahathir Mohamad. Pemimpin Bersatu juga pasti ingin mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti dengan memenangi kedudukan dalam pemilihan akan datang.

Tetapi walaupun Bersatu dapat meningkatkan majoriti parlimen PN dalam jangka masa pendek, ia tidak boleh berharap untuk ia kekal begitu sehingga datangnya PRU15.

Bersatu sedar Umno dan PAS tidak mempunyai insentif membahagikan kerusi parlimen dengan mereka pada PRU15. Parti itu juga tahu mereka jauh lebih lemah - dari segi jentera politik dan penjenamaan - berbanding dengan Umno dan PAS.

Oleh itu, Bersatu hanya mempunyai satu pilihan untuk memanjangkan usia politik parti terbabit iaitu menggantikan Umno sebagai parti utama Melayu dalam gabungan pemerintah.

Untuk mencapai matlamat itu, Bersatu akan melakukan perkara berikut:

(i) Memujuk lebih ramai ahli parlimen dan Adun Umno untuk menyertai Bersatu dan ‘memecah-belahkan’ Umno menjelang PRU15

(ii) Terus memberi tekanan kepada Umno dengan tidak menggugurkan kes mahkamah yang melibatkan pemimpin mereka

(iii) Cuba membina gabungan alternatif kepada BN/Muafakat Nasional (MN)/Pakatan Harapan (PH).

Umno tahu Bersatu perlu masa

Sudah tentu, ada yang mengemukakan kemungkinan Bersatu akan bergabung semula dengan Umno sama seperti yang dilakukan oleh Semangat 46 (S46).

Tetapi pada masa itu, S46 tidak mempunyai satu pun penyandang jawatan pemerintah, sedangkan dalam Bersatu sekarang, terdapat ramai anggota parlimennya yang sudah biasa dengan kedudukan berkuasa dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan mereka.

Ahli parlimen Bersatu tahu bahawa jika bergabung dengan Umno, kebanyakan mereka akan hilang kuasa dalam proses 'pembersihan dalaman' dan tidak akan dibenarkan bertanding pada PRU15.

Tidak boleh diabaikan juga, kebanyakan pemimpin Bersatu - terutamanya di peringkat akar umbi - menyertai Umno kerana mereka tidak dapat memperolehi jawatan penting dalam parti.

Memandangkan realiti ini, besar kemungkinan penggabungan berkenaan tidak boleh diterima oleh Bersatu. Umno juga sedar Bersatu memerlukan lebih masa untuk melemahkan mereka dan membuat persediaan menghadapi PRU15.

Oleh itu, strategi jangka panjang yang optimum bagi Umno untuk memenangi semula kuasa adalah untuk tidak memastikan kerajaan Muhyiddin dapat bertahan selama tempoh penuh sehingga PRU15 (yang harus diadakan menjelang 2023).

Oleh itu, Umno harus memilih masa terbaik untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan PN untuk mencetuskan pilihan raya umum.

Tanda-tanda tak puas hati

Ini mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat kerana negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang disebabkan oleh virus Covid-19.

Tetapi setelah ada tanda-tanda krisis Covid-19 menjadi lebih terkawal, kepemimpinan Umno boleh bertindak pada bila-bila masa.

Salah satu perkara yang sukar untuk diramalkan adalah strategi ahli parlimen Umno yang tidak diberi jawatan kabinet, terutama mereka yang masih dibayangi kes mahkamah.

Apakah kemungkinan mereka akan mensabotaj kerajaan Muhyiddin? Misalnya, dengan tidak hadir untuk memberi sokongan kepada rang undang-undang di parlimen dan sekali gus, mencetuskan kejatuhan kerajaan?

Kemungkinan ini lebih tinggi sekiranya kes mahkhamah yang melibatkan presiden Umno, setiausaha agung Umno dan beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno tidak digugurkan pada masa yang sesuai.


Baca Bung Moktar pula bidas pemimpin PN tak patuh SOP


Sementara itu, kita sudah dapat melihat beberapa tanda tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno terhadap kerajaan PN. Sasaran mereka nampaknya tertumpu pada pemimpin Bersatu, setakat ini.

Sebagai contoh, Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mempersoalkan keputusan Azmin Ali membenarkan sektor tambahan beroperasi dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 April lalu.

Bekas ahli parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad, juga mempersoalkan perlunya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) terlibat dalam sektor seperti gunting rambut, dan bertanya adakah Miti kini menjadi 'Super Minister' di bawah Menteri Kanan, Azmin.

Dr Zambry Abdul Kadir, mantan Menteri Besar Perak, telah menciap gambar bantuan makanan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang tidak diagihkan dan bertanya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun - dari Bersatu - adakah mereka sedang menunggu "penyelaras parlimen" untuk dilantik sebelum bantuan dapat diedarkan.

Khaled Nordin, mantan Menteri Besar Johor, juga mengkritik Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali - dari Bersatu - kerana makan-makan bersama exco Perak semasa PKP dengan mengatakan bahawa itu bukan teladan yang baik untuk orang awam.

Kemungkinan besar serangan begini - secara langsung dan tidak langsung - oleh pemimpin Umno terhadap pemimpin tertentu dalam PN akan bertambah.

Dilema ini adalah sebab utama mengapa kerajaan PN tidak mungkin bertahan selama tiga tahun sebelum penggal parlimen ini berakhir pada Mei 2023. Dilema Umno adalah ancaman besar kepada Bersatu dan untuk kerajaan PN.

Bahagian 1: Dilema Umno dalam kerajaan PN


DR ONG KIAN MING ialah Anggota Parlimen Bangi.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini