Malaysiakini
BERITA

Lebih 70% kes import Covid-19 dari Indonesia

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Apr 2020, 10:06 pagi

Lebih 70 peratus kes Covid-19 yang diimport berasal dari Indonesia, menurut data Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak pelaksanaan kuarantin wajib terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, seramai 139 daripada mereka disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata daripada jumlah ini, seramai 99 rakyat Malaysia pulang dari Indonesia atau bersamaan 71,22 peratus daripada kes import.

Kes selebihnya membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari United Kingdom iaitu seramai 14 orang, Singapura (13), Turki (5), Belanda (3), Amerika Syarikat (2) dan masing-masing satu kes membabitkan mereka yang pulang dari Thailand, Perancis dan Bangladesh.

Beliau berkata setakat ini, seramai 12,672 individu yang pulang ke Malaysia telah dikuarantin dan menjalani ujian saringan.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk mengesan jangkitan Covid-19 di kalangan kumpulan sasaran.

"Setakat ini, dengan pendekatan sasaran, Kementerian Kesihatan telah berjaya mengesan lebih banyak kes Covid-19," katanya.

Beliau berkata pendekatan bagi mengesan kes Covid-19 terhadap kumpulan sasaran itu tertumpu di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata, sehingga tengah hari ini, seramai 2,466 orang dalam kawasan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) telah disaring dan 638 orang positif, dengan kadar jangkitan 2.97 peratus.

Beliau berkata daripada jumlah jangkitan ini, 388 daripada mereka atau 61 peratus adalah warga asing dan baki 250 kes atau 39 peratus melibatkan rakyat Malaysia.

Beliau berkata kumpulan sasaran itu termasuk 6,229 pelajar, guru dan kakitangan sekolah agama yang telah menjalani ujian Covid-19 sehingga semalam.

Daripada jumlah ini, seramai 341 orang dikesan positif, dengan kadar jangkitan 5.47 peratus.

"Ini menunjukkan pendekatan kumpulan sasaran yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membuahkan hasil yang dihendaki.

"Diharap ini akan membendung penyebaran Covid-19 dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Kementerian Kesihatan menjangkakan lebih banyak kes positif akan dikesan dalam masa terdekat disebabkan aktiviti berterusan terhadap kumpulan sasaran," katanya.

Sehingga tengah hari ini, Malaysia mencatatkan kes jangkitan sebanyak 5,780  dan 98 orang meninggal dunia,

Bagaimanapun, 3,862 orang dilaporkan pulih manakala 1,820 lagi masih dalam rawatan.

Di seluruh dunia, seramai 2.93 juta orang telah dijangkiti wabak berkenaan dengan 203,596 kematian.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.