Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Sayu tahun ini, lepas azan toleh belakang tak ada orang’

Saban tahun, usai menjamah sebiji kurma dan buah buat syarat batal puasa, Ahmad Ibrahim Abdul Basir Khan akan terus menyarung kopiah bergegas ke masjid Tambun Lama Ipoh, bagi menunaikan solat fardu Maghrib hingga ke tarawih.

Bagaimanapun, kelmarin, ketika Ahmad Ibrahim hendak ke masjid, dia dihalang oleh isterinya.

“Saya terlupa pula, nasib baik isteri perasan,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Halangan isteri Ahmad Ibrahim itu disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKP- yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19- mengehadkan pergerakan orang awam, malah turut diarahkan untuk semua masjid dan surau ditutup sementara waktu.

Ahmad Ibrahim Abdul Basir Khan 

Meskipun masjid ditutup, anak kariah kawasan itu berkata, dia tidak melepaskan peluang pada bulan suci ini untuk bertarawih di rumah.

“Saya percaya ada hikmah. Kita masih boleh bertarawih walaupun tak dapat ke masjid,” katanya lagi.

Bukan hanya Ahmad Ibrahim, rasa pilu itu turut dikongsi oleh beberapa imam dan bilal antaranya Radzali Jaafar.

Solat tarawih dengan jemaah empat orang di Masjid Nagara, gambar hiasan

Berkongsi rutin hariannya, Radzali – setelah melihat jam dan meneguk air - dia akan melaungkan azan Maghrib di surau Bukit Kuda, Klang, sebagai panduan buat umat Islam di kawasannya untuk berbuka puasa.

Bilal itu bagaimanapun mengaku berasa kekok selepas melaungkan azan tahun ini, meskipun sudah 11 tahun menggalas tugas tersebut.

“Selalunya sebelum saya (melaungkan) azan, masjid sudah penuh kerana mereka akan terus menunaikan solat Maghrib.

“Tahun ini, saya toleh belakang, tiada siapa bersama saya,” katanya dengan nada sedih ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Dr Zulkifli Mohamad mengalakkan supaya umat Islam untuk menjalani ibadah puasa dalam kebiasaan baru akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, secara alternatif umat Islam boleh menghidupnya tradisi Ramadan dengan bertarawih dan beribadah di rumah.

Keindahan yang lain

Menyorot galakan Dr Zulkifli, imam di Masjid Jingga, Klang, Safri Muhammad Zein menyifatkan Ramadan kali ini bawa makna keindahan berbeza buatnya.

“Bila (tarawih) di rumah ini, dia ada satu keindahan yang lain kerana ini masa kita beribadat bersama keluarga tersayang,” katanya yang juga merupakan seorang penceramah.

Safri Muhammad Zein 

Safri turut berkongsi bahawa dengan bertarawih di rumah, dia dapat mengajar anak lelakinya mengimami keluarga.

“Ramadan sebelumnya, (ketika) tarawih jemaah (di masjid) akan aminkan doa saya, tahun ini saya dapat aminkan doa yang dibaca anak saya.

“Saya juga dapat melatih dia (anak lelakinya) untuk mengimami keluarga,” katanya lagi.

Mengambil contoh keluarganya, Safri turut menasihati setiap ahli keluarga –khususnya bapa - supaya menggunakan peluang ini untuk membimbing keluarga.

“Mungkin, seorang ayah yang tidak pernah imamkan solat keluarga akhirnya dia dapat buat tahun ini. Itu kira Alhamdulliah, setiap yang berlaku ada hikmah besar,” katanya.

Firuz Dalili Hashim 

Tidak ketinggalan, imam di Masjid Ihtidaiyah, Ipoh, Firuz Dalili Hashim turut berkongsi keindahan yang dirasai menjalani Ramadan ketika fasa “normal baru” itu.

“Saya akan bertarawih bersama keluarga, kita manfaatkan untuk bertadarus (membaca al-Quran) di rumah dan luangkan masa beribadat dengan isteri dan anak-anak.

“Jangan kita persiakan bulan Ramadan hanya kerana tidak dapat bertarawih di masjid, pelbagai cara boleh dibuat untuk menjadi Ramadan bulan penuh berkat,” katanya.

Meskipun berasa seronok beribadat bersama keluarga, Firuz turut meluahkan rasa rindunya kepada masjid - yang dibina sejak 1912 itu - yang sering dihadirinya.

“Seronok macam mana pun, rasa rindu untuk ke masjid tetap ada, saya juga kadang solat di sana bersama bilal hanya untuk Maghrib tetapi tak selalu.

“Hmm saya betul-betul rindu kemeriahan masjid, lagi-lagi ketika tarawih begini,” katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS