Jamaah Islah Malaysia (JIM) salah sebuah badan Islam bukan kerajaan (NGO) yang membantah forum awam mengenai isu murtad anjuran Kumpulan Artikel 11 bersedia mengadakan dialog dengan kumpulan tersebut bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pengerusi JIM Pulau Pinang, Hasnur Rashid berkata, pihaknya sedang mengatur langkah untuk mengadakan dialog dengan kumpulan terbabit.

"Kami tidak mahu bergaduh dengan dengan Kumpulan Artikel 11 kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak," katanya.

Pada 15 Mei lalu, Kumpulan Artikel 11 yang dianggotai oleh 14 NGO termasuk Sister in Islam, Aliran Kesedaran Negara (Aliran) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengadakan forum awam mengenai kebebasan beragama di sebuah hotel di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Pulau Pinang dan beberapa NGO Islam seperti Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Badan Anti Suruhanjaya Antara Agama (Badai) dan JIM membantah forum tersebut diadakan kerana didakwa cuba mencampuri urusan agama Islam.

Pantau perkembangan

Berikutan itu, pihak polis terpaksa memberhentikan forum tersebut apabila orang ramai berkumpul dan mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah forum berkenaan.

Bagaimanapun, kata Hasnur lagi, NGO Islam tetap akan memantau perkembangan kumpulan tersebut supaya tidak meneruskan aktiviti yang menyentuh perasaan agama Islam.

Sementara itu, Pengerusi Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai usaha JIM untuk mengadakan dialog dengan Kumpulan Artikel 11.

Katanya, jika benar ada usaha sedemikian rupa, beliau mengangganya sebagai usaha persendirian JIM.

"Teras tetap dengan pendirian menentang tindakan Kumpulan Artikel 11 mengadakan forum sedemikian rupa kerana ia menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya lagi.