Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM beri keutamaan pada Sabah, Sarawak guna RTK

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dalam pengedaran kit ujian pantas (RTK) antigen buatan Korea Selatan (RTK), yang dijangka tiba mulai Jumaat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menumpukan pengagihan RTK di Sabah dan Sarawak selepas mengambil kira isu logistik untuk menguji sampel Covid-19 dari kedua-dua negeri itu.

"Saya ingin memberitahu bahawa mungkin pada hari Jumaat, kita akan mula menerima kumpulan pertama RTK buatan Korea, yang sebelum ini mengalami kelewatan. Kira-kira 50,000 unit akan diterima dan kita akan memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak.

"RTK ini mungkin lebih sesuai digunakan di sana, kerana memberi kelebihan dari segi masa yang digunakan lebih cepat untuk menguji sampel dan dapat dilakukan di poin of care," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

RTK adalah alat diagnostik yang dapat digunakan untuk menguji kehadiran antigen Covid-19 dalam sampel manusia. Ia adalah kaedah yang lebih cepat dan lebih murah untuk mengesan kes positif berbanding dengan ujian Reverse-transcription polymerase chain reaction (RT-PCR) yang harus dilakukan di makmal.

Pada masa ini, KKM bergantung pada ujian RT-PCR untuk mengesan kes Covid-19 di negara ini, melalui 44 makmal di seluruh negara.

Bagaimanapun, hanya terdapat beberapa makmal di Sabah dan Sarawak.

Sebagai contoh, Noor Hisham berkata hanya terdapat empat makmal di Sarawak yang menjalankan ujian RT-PCR, termasuk satu yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Setakat minggu ini, 44 makmal seluruh negara dapat melakukan sejumlah 16,635 ujian RT-PCR sehari, dan KKM mensasarkan untuk meningkatkannya menjadi 22,000 sehari dengan pemasangan dua sistem pemprosesan automatik BGI di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur dan Makmal Kesihatan Awam di Kota Kinabalu, Sabah.

Noor Hisham sebelum ini berkata pihaknya berharap dapat meningkatkan lagi jumlah ujian apabila RTK berjaya diperoleh, dan akan melakukan kegiatan pengujian besar-besaran.

Dilaporkan bahawa KKM telah membuat pesanan untuk 200,000 unit RTK yang dihasilkan oleh SD Biosensor Inc, yang merupakan syarikat Korea Selatan.

Kementerian telah membuat pesanan awal bulan ini kerana ujian mendapati jenama RTK mempunyai kepekaan dan kekhususan yang tinggi.

Menurut Noor Hisham, selain RTK, KKM juga akan menempatkan dua kabinet biokeselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang memungkinkan ujian RT-PCR dilakukan di sana.

Ini, tambahnya, akan membolehkan pihak berkuasa kesihatan melakukan ujian pengesanan pada sampel yang diambil dari penumpang yang tiba di lapangan terbang, termasuk mereka yang dalam transit.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS