Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin berkata demonstrasi jalan tidak harus diberi publisiti dan semua stesen televisyen dan media cetak di Malaysia tidak perlu menyiarkan sama sekali berita mengenainya.

"Stesen televisyen dan media cetak tidak seharusnya memberikan publisiti kepada mereka ini dengan tujuan untuk melariskan akhbar atau sengaja mensensasikan berita tersebut hanya kerana nilai komersial tanpa memikirkan akibatnya kepada usaha pembentukan keperibadian Malaysia," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata hari ini, tindakan mengadakan demonstrasi jalanan bagi melahirkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan tidak mendatangkan kebaikan kepada orang ramai, malah akan menjejaskan perniagaan serta ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan beliau tidak menghalang anggota PAS berdemonstrasi, termasuk membaling batu kepada anggota polis.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar PAS ke-52 di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Star semalam, Abdul Hadi berkata, pendekatan demonstrasi jalanan itu dianggapnya langkah paling berkesan kepada parti itu bagi menunjukkan protes mereka kepada kerajaan.

Amal demokrasi

Hadi berkata, negara yang mengamalkan demokrasi mengamalkan demonstrasi kerana ia adalah kebebasan

Mengulas lanjut mengenainya, Zam yang sedang bercuti di Cape Town, Afrika Selatan, memberitahu Bernama: "Teguran Perdana Menteri adalah kena pada masanya kerana ada stesen televisyen yang suka berbuat demikian."

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zainuddin berkata tidak lama dahulu ada stesen televisyen yang menyiarkan berita mengenai tunjuk perasaan pihak tertentu yang membuat bantahan dengan mengusung keranda di atas jalan raya, hanya kerana soal keselamatan jalanraya.

Menurutnya jika penyiaran berita mengenai tunjuk perasaan terus dibiar dan dibenarkan, ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan menggalakkan budaya tunjuk perasaan.

"Rakyat akan beranggapan ini adalah satu keharusan dalam demokrasi tetapi akibat yang akan berlaku ialah ia akan berakhir dengan kekerasan.

"Kita juga tidak seharusnya membabi buta meniru media barat kerana kita telah melihat yang pihak baratlah yang telah menceroboh demokrasi, malah menawan negara lain dalam keadaan penjajahan telahpun berakhir," katanya.