Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Lebih 15,000 kena potong gaji, buang kerja di Johor’
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 1:18 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Exco kerajaan negeri Johor, R Vidyananthan mendedahkan bahawa seramai 15,597 pekerja di negeri itu dikurangkan gaji atau diberhentikan kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 11,110 dikurangkan gaji, 1,443 diberhentikan manakala 180 membabitkan pemberhentian sukarela.

Data itu diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor berdasarkan permohonan 398 majikan yang memohon untuk pemberhentian pekerja masing-masing atau pengurangan gaji.

"Selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955, pihak majikan diwajibkan untuk mengemukakan sebarang penyata perihal pekerja sama ada pengambilan atau pemberhentian pekerja melalui Borang PK.

"Daripada permohonan 398 majikan di negeri ini bagi pengurangan gaji dan pemberhentian pekerja mereka, ia membabitkan pemberhentian tetap seramai (1,443), pemberhentian sukarela (180), pemberhentian sementara (2,864) dan pengurangan gaji (11,110)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata bagi memastikan majikan mematuhi peraturan semasa PKP, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah mewujudkan Skuad Khidmat Cepat (SKC) dalam pengendalian aduan secara bersama dengan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP).

Antara langkah-langkah yang diambil termasuk menghubungi majikan yang diadu bagi memberi nasihat untuk mematuhi Akta 342 Pencegahan dan Pengawal Penyakit selaras dengan soalan lazim (FAQ) Kementerian Sumber Manusia yang diedarkan kepada orang ramai pada 19 Mac 2020.

“Sekiranya majikan masih gagal mematuhi arahan itu, Pasukan Petugas Khas (PPK) hendaklah memanggil majikan untuk hadir ke pejabat bagi tujuan pematuhan arahan yang dikuat kuasa dan sekiranya majikan masih ingkar arahan, PPK dikehendaki membuat lawatan ke atas premis majikan dan jika perlu boleh melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan Akta 342,” kata beliau.

Vidyananthan berkata selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955, pihak majikan diwajibkan untuk mengemukakan sebarang penyata perihal pekerja sama ada pengambilan atau pemberhentian pekerja melalui borang yang disediakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS