Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inspektor didakwa rogol, cuba cabul dua wanita Mongolia ketika PKP
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Pegawai polis berpangkat Inspektor yang dituduh memperdagangkan dua wanita Mongolia semalam, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini atas lapan pertuduhan rogol dan satu tuduhan cubaan cabul mangsa sama.

Hazrul Hizham Ghazali, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Hazrul Hizham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, didakwa merogol dua wanita Mongolia berusia 20 dan 36 tahun dengan menggunakan kedudukan kuasanya sebagai pegawai polis untuk mendapatkan kerelaan kedua-dua mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bilik hotel berbeza di PJ Luxe Boutique Hotel, di Petaling Jaya, antara 12.30 malam hingga 11 pagi, pada 11 April lepas mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan cubaan cabul, lelaki itu dituduh telah menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa pertama dengan niat untuk mencabul kehormatannya di Khemah Petugas sekatan jalan raya Plaza Tol NPE, PJS2, antara 5.30 petang dan 6.15 petang, 10 April mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mengambil kira faktor tertuduh menghadapi sembilan pertuduhan dan lapan daripadanya melibatkan penyalahgunaan kuasa dalam melakuan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Saya telah mendapat arahan supaya jaminan tidak ditawarkan kerana dikhuatiri ada kecenderungan besar saksi akan diganggu memandangkan mereka adalah warga asing. Namun sekiranya jaminan dibenarkan saya mohon jumlah yang tinggi,” katanya.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon jaminan terhadap anak guamnya dibenarkan atas alasan tertuduh telah diikat jamin sebanyak RM20,000 di Mahkamah Klang semalam.

“Saya percaya kesemua kes ini akan dibicarakan bersama kerana melibatkan mangsa sama. Mangsa juga kini ditempatkan di rumah perlindungan dan adalah mustahil untuk tertuduh mengganggu mereka,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM27,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS