Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat terbuka MTUC kepada k’jaan - Jangan pinggirkan pekerja

ULASAN l Hari Pekerja 1 Mei esok menemui warga pekerja di Malaysia dan seluruh dunia pada masa survival mereka begitu tertekan akibat pandemik Covid-19 yang mengorbankan lebih 200,000 orang dan melumpuhkan ekonomi global, sekali gus mencetuskan penggangguran yang semakin memburuk.

Tidak sesiapa menyangka bahawa dalam sekelip mata, kehidupan kita semua akan berubah dengan begitu mendadak, baik dari segi keselamatan dan kesihatan diri, mahu pun dari aspek jaminan pekerjaan.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan 1.6 bilion pekerja ekonomi tidak formal di seluruh dunia berdepan risiko kehilangan mata pencarian. Jutaan pekerja di segenap pelusuk sudah pun kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji dan hidup dalam keadaan amat tidak menentu.

Malaysia tidak terkecuali daripada realiti ini. Oleh itu, pada 1 Mei esok, persoalan utama pekerja adalah: Siapa yang akan tampil membela kami?

Persoalan yang lebih mudah dijawab adalah “Siapakah yang harus membela pPekerja?” Sudah tentu majikan. Namun di dalam wabak Covid-19, majikan di Malaysia nampaknya hanya ghairah mahu melepaskan diri dan bukannya menyelamatkan pekerja.

Hakikat ini boleh dilihat menerusi perangkaan rasmi bahawa purata 6,000 pekerja diberhentikan dalam tempoh sebulan, setakat ini. Itu angka rasmi.

Realiti sebenar lebih dashyat. Beberapa badan yang mewakili ahli korporat meramalkan pengangguran akan meningkat kepada ratusan ribu orang tidak lama lagi.

Antara yang membuat unjuran sedemikian adalah Persekutuan Majikan Malaysia dan Persekutuan Pengilang Malaysia.

Mereka lantang menyuarakan ‘amaran’ ini sebagai pengalas untuk mendapatkan lebih banyak bantuan kerajaan, sungguhpun sebahagian besar pakej rangsangan RM260 bilion yang diumumkan kerajaan setakat ini, adalah untuk manfaat mereka.

Ditegaskan, bukan semua majikan berperangai begitu, tetapi jumlah mereka yang rakus, tidak prihatin nasib pekerja, cukup ramai sehingga menyebabkan puluhan ribuan pekerja hilang sebahagian atau segala mata pencarian sejak Mac lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa.

Mereka yang ditindas merangkumi pekerja warga Malaysia dan juga buruh migran.

Sebilangan besar mereka adalah berkeluarga dan miskin tegar. Untuk mengharungi Covid-19, pekerja warga Malaysia bergantung kepada bantuan pakej prihatin dan bantuan pek makanan RM100 kerajaan. Yang warga asing mengharapkan simpati NGO dan orang ramai untuk survival mereka.

Apa pun, wang bantuan prihatin dan pek makanan kerajaan akan atau sudah pun ketandusan. Jutaan pekerja kini hidup merempat di unit-unit pangsapuri kos rendah, lot kedai atau di kongsi tapak pembinaan dalam keadaan yang jauh lebih menekan, berbanding sebelumnya.

Pada Hari Pekerja 1 Mei ini, warga pekerja Malaysia bersyukur atas segala bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan. Kita juga menyanjung jasa barisan hadapan atau frontliners, khususnya petugas perubatan serta pekerja perkhidmatan penting lain yang menyabung nyawa setiap hari dalam memerangi Covid-19 demi kebaikan rakyat.

Namun, di sebalik kesyukuran dan penghargaan itu, kami terpaksa balik kepada persoalan yang dilontarkan pada permulaan warkah ini: Siapa yang akan tampil membantu warga pekerja.

Harapan pekerja adalah jelas. Jika majikan hanya berminat menyelamatkan diri, maka sudah tentu pekerja melihat kerajaan sebagai satu-satunya tonggak untuk mendapatkan pembelaan.

Hanya pemerintah sahaja yang boleh meleraikan kebimbangan dan keresahan pekerja, kerana majikan nampaknya tidak berminat berbuat demikian.

Kerajaan tidak perlu diperingatkan berulang kali sumbangan pekerja kepada pembangunan tanah air ini. Atau pentingnya pekerja sebagai aset utama untuk membina semula kekuatan eknomi negara.

Kami yakin kerajaan cukup sedar akan peranan dan tanggjungjawabnya.

Namun pada 1 Mei, hari yang amat bermakna untuk warga pekerja, kami ingin mendengar kerajaan menzahirkan komitmen untuk tidak mengabaikan pekerja, kami mahu tekad itu dipancarkan menerusi tindakan dan program bermakna yang dapat mengubati keperitan pekerja.

Ini yang kami ingini dan dahagakan.

MTUC tidak bersetuju dengan sesetengah pendekatan kerajaan dalam pakej rangsangan, seperti menbenarkan pekerja mengeluarkan caruman KWSP bulanan mahupun menggunakan wang Perkeso untuk pekerja menjalani saringan Covid-19 di klinik.

Semua langkah ini akan menghakis simpanan pekerja untuk kebajikan diri dan keluarga di samping tabungan hari tua. Pada masa sama, kami akui langkah-langkah seperti penangguhan pinjaman rumah dan kereta untuk enam bulan amat membantu.

Hakikatnya, warga pekerja amat bergantung kepada keprihatinan kerajaan kerana pembelaan yang diharapkan daripada majikan tidak kesampaian, ibarat menantikan kucing bertanduk.

Biarlah dalam tempoh PKP ini mahupun selepas PKP berakhir, kebajikan pekerja diberikan keutamaan. Mereka harus memperolehi jaminan upah dan pekerjaan semasa PKP dan keselamatan mereka mesti diutamakan apabila sektor-sektor tertentu mula dibuka semula.

Kami menggesa kerajaan, khususnya kementerian berkenaan untuk mengemukakan pelan yang tuntas bagi melindungi pekerja daripada dibuang kerja atau dipotong gaji dengan sewenang-wenangnya oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Kami mengesyorkan kerajaan melaksanakan Peraturan Pekerjaan Darurat yang melarang pembuangan pekerja bagi tempoh tertentu.

Ketika ini, terlalu ramai pekerja hidup merempat bersama keluarga dalam serba kekurangan akibat hilang mata pencarian.

Kisah mereka mungkin tidak dipancarkan oleh media arus perdana, namun penderitaan mereka nyata dan lumrah berlaku di sekeliling kita.

Oleh itu, pada Hari Pekerja 1 Mei esok, kami mendoakan bahawa harapan yang tersemat di jiwa setiap seorang pekerja akan menjadi realiti iaitu: Bahawa kami, warga pekerja Malaysia akan menerima pembelaan wajar daripada kerajaan demi survival kami.

Selamat Hari Pekerja 2020.


J SOLOMON adalah setiausaha agung MTUC.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS