Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail: Belum ada pekerja asing tanpa dokumen tampil buat saringan Covid-19

Imigran tanpa dokumen di negara ini belum mengambil kesempatan yang diberikan oleh kerajaan untuk tampil membuat pemeriksaan Covid-19.

Menurut Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, setakat ini belum ada imigran yang tampil untuk membantu usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes-kes positif di kalangan masyarakat, walaupun ada jaminan kerajaan bahawa tidak ada tindakan yang akan diambil berhubung status mereka.

"Mereka tidak tampil walaupun (kerajaan) dah umumkan (tidak ada tindakan)," katanya kepada Malaysiakini.

Ismail menjawab pertanyaan mengenai pengumumannya dua hari lalu, bahawa semua pendatang tanpa izin yang dikenal pasti di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan doperketatkan (PKPD) akan ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Dia ditanya apakah keputusan terbaru itu akan menyebabkan pendatang tanpa izin lain yang tidak berdokumen di negara ini tidak akan tampil membuat saringan Covid-19.

Bulan lalu, Ismail memberitahu sidang media bahawa warga asing terutama mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh Sri Petaling di Kuala Lumpur diminta untuk hadir untuk menjalani pemeriksaan Covid-19.

Katanya, warga asing, termasuk mereka yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, boleh tampil tanpa rasa takut dan memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan melihat status imigresen mereka.

Jaminan itu diberikan ketika pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti dan mengesan semua peserta perhimpunan berkenaan, yang dikatakan telah dihadiri oleh sekitar 16,000 orang termasuk 1,500 warga asing.

Sehingga kini, perhimpunan tersebut kekal sebagai kluster jangkitan terbesar di negara ini dengan sekitar 36 peratus kes positif mempunyai kaitan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, ketika ditanya mengenai hal ini, mengatakan bahawa fokus Kementerian Kesihatan adalah untuk mengesan kes-kes positif, dan akan menyerahkan keputusan tindakan undang-undang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Lihat Komen
ADS