Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hampir semua sektor ekonomi akan mula dibuka 4 Mei
Diterbitkan:  May 1, 2020 11:33 AM
Dikemaskini: 5:31 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini mengumumkan bahawa hampir semua sektor ekonomi akan mula dibuka 4 Mei ini.

Muhyiddin berkata kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB) yang akan menyaksikan sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) bagaimanapun akan terus dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi, katanya.

"Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

"Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, masih ada beberapa industri dan perniagaan tertentu tidak dibenarkan beroperasi.

"Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

"Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

"Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran," katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya turut berkata, keputusan itu diambil selepas Malaysia telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

"Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.

"Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan PKPB," katanya.

Enam kriteria itu ialah:

  • Pertama, kawalan sempadan negara kita telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku;
  • Kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan;
  • Ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan;
  • Keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya;
  • Kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan
  • Keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

"Alhamdulillah, pengorbanan kita sepanjang pelaksanaan PKP tidak sia-sia," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata meskipun kes jangkitan mencatatkan penurunan, rakyat perlu menerima hakikat bahawa adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar dalam jangkitan Covid-19 dalam bulan-bulan akan datang.

Apa yang perlu dilakukan, katanya, adalah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Justeru, rakyat diminta tidak alpa dan terus berwaspada dengan terus mengamalkan tabiat penjarakan sosial, membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di kawasan awam, dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala.

Dalam perutusan hari ini, Muhyiddin juga memaklumkan bahawa majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumahrumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Selain itu, perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Buat masa ini, kata Muhyiddin, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

Lihat Komen
ADS