Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hotel Hilton pula kurangkan kakitangan, potong gaji
Diterbitkan:  May 1, 2020 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Hilton Kuala Lumpur menjadi hotel terbaru yang melaksanakan pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja sementara untuk terus bertahan daripada kejatuhan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19, lapor The Star.

"Sejumlah kakitangan akan diberhentikan berdasarkan proses last in-first out (masuk kemudian keluar dulu)," menurut surat pekeliling yang dikirimkan kepada staf hotel.

Hotel itu meminta mereka yang akan diberhentikan untuk memohon tuntutan dari Sistem Insurans Pekerja (SIP) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sebilangan kakitangan akan ditempatkan di bawah program pengekalan pekerjaan (ERP). Bantuan kerajaan sebanyak RM600 sebulan akan diberikan melalui Perkeso selama tiga bulan bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

"Sekiranya permohonan tidak berjaya, ahli pasukan akan diminta untuk cuti tanpa gaji," katanya.

Kakitangan lain dikekalkan dengan pemotongan gaji hingga 50 peratus.

"Kami terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan agar hotel terus beroperasi," katanya.

Industri perhotelan menerima tamparan hebat susulan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

G City Club Hotel, yang menguruskan Hotel GTower di Kuala Lumpur, juga telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan operasi hotelnya.

Pada 30 April, Hotel Syeun di Ipoh dilaporkan memberitahu kakitangannya bahawa ia akan berhenti beroperasi pada 31 Mei.

Hotel berusia 27 tahun itu menghadapi kesukaran dalam tiga tahun terakhir bahkan sebelum PKP dikuatkuasakan. Dilaporkan juga bahawa Tower Regency Hotel dan Kinta Riverfront Hotel and Suites telah berhenti beroperasi pada akhir bulan lalu.

Hotel Ramada di Melaka, yang telah beroperasi hampir 40 tahun, akan ditutup pada bulan Julai.

Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) pada 16 April menunjukkan sekitar 15 peratus hotel mungkin menutup operasi mereka kerana pandemik Covid-19.

Lihat Komen
ADS