Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan akan laksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat - PM

Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

"Kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat atau PKPB," katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Bagaimanapun, tegasnya aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak masih tidak dibenarkan.

Muhyiddin berkata Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksana di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

Beliau berkata kerajaan memutuskan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik ditentukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya lagi, ia termasuk tidak membenarkan industri dan perniagaan; aktiviti sukan; majlis sosial serta keagamaan yang melibatkan perhimpunan ramai selain perjalanan rentas sempadan negeri.

“SOP ini termasuk penjarakan sosial; kerap mencuci tangan; memakai penutup hidung dan mulut; melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19; dan keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU;

“Selain itu, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan; bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira jarak sosial dan menggalakkan transaksi secara online,” katanya.

Sedar kebimbangan awam

Dalam pada itu, perdana menteri berkata jumlah kes baru Covid-19 di negara ini telah turun dengan ketara selain lebih banyak zon hijau berbanding merah, hasil pengorbanan semua sepanjang pelaksanaan PKP.

Namun, katanya terdapat risiko peningkatan kadar jangkitan Covid-19 berikutan ramai yang akan mula keluar bekerja dan ia perlu dielak.

“Jadi saya sedar, saudara saudari bimbang. Saya pun bimbang juga dan memang telah pun berlaku di beberapa buah negara lain, apabila ‘lockdown’ dihentikan, jumlah kes-kes positif Covid-19 meningkat semula dengan mendadak. Ini mesti kita elakkan,” katanya.

Muhyiddin meminta orang ramai supaya tidak panik dan mengalah serta yakin dengan kemampuan petugas barisan hadapan untuk menjalankan tugas membendung wabak itu.

“Tetapi yang lebih penting ialah diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri. Jaga kebersihan diri kita. Jangan keluar rumah kecuali jika perlu dan patuhi SOP yang ditetapkan setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke temapat awam serta bawa pensanitasi tangan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS