Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Majikan perlu galakkan kerja dari rumah
Diterbitkan:  May 1, 2020 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyarankan agar majikan menggalakkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah masing-masing selepas hampir semua sektor ekonomi dibuka semula Isnin ini.

Katanya, amalan kerja dari rumah merupakan satu norma baru yang mesti diamalkan dalam sektor pekerjaan.

“Walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti amalkan.

“Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik,” katanya dalam perutusan khasnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan menyaksikan hampir semua sektor ekonomi mula dibuka semula Isnin ini, dan pekerja dalam sektor berkaitan akan kembali bekerja.

Katanya, kelonggaran bekerja dari rumah itu turut boleh dilaksanakan selari dengan jadual kerja berselang-seli yang dapat membantu pasangan suami isteri menyelesaikan masalah penjagaan anak mereka.

Katanya, sekiranya jadual kerja berselang-seli itu diguna pakai, suami dan isteri boleh bergilir-gilir sesama mereka untuk bekerja dari rumah dan hadir ke pejabat, mengikut aturan selang sehari.

“Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat.

“Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan. Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka,” katanya lagi.

Langkah itu, katanya, dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan, sekaligus memudahkan penjaga di pusat penjagaan berkenaan untuk mengurus anak-anak mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan.

Malah, ia dapat menenangkan hati ibu bapa yang mungkin bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat penjagaan dalam musim Covid-19, meskipun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak yang dibuka nanti akan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu.

Bahkan, tambah Muhyiddin, pekerja di sektor awam digalakkan untuk bekerja dari rumah apabila sektor awam mula beroperasi semula Isnin ini, kecuali untuk proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Katanya, bagi sektor awam, mesyuarat digalakkan diadakan secara dalam talian menggunakan medium yang selamat, dan mereka yang berdepan kesulitan berhubung penjagaan anak juga dibenarkan untuk membuat penggiliran kerja selain pelaksanaan waktu kerja anjal.

“Saya minta supaya semua ketua jabatan (sektor awam) mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mencadangkan majikan sektor swasta turut melaksanakan waktu kerja secara anjal, bagi mengelakkan kesesakan di stesen pengagkutan awam dan kenderaan awam.

“Tak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu yang sama. Jadi sedikit sebanyak kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama,” katanya lagi.

Majikan juga, katanya, boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan Covid-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan, iaitu dengan mengehadkan kerja lebih masa, mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

“Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan Covid-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja,” katanya lagi.

Sebelum itu, dalam perutusan sama, ketika mengumumkan tentang kebenaran semula operasi terhadap hampir semua sektor ekonomi, terdapat beberapa perniagaan atau aktiviti diumumkan tidak dibenarkan beroperasi.

Ini kerana perniagaan atau aktiviti berkenaan melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

Antara perniagaan dan aktiviti yang dimaksudkan ialah panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan juga pameran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS