BERITA

Perkeso: Program Pengekalan Pekerjaan masih diteruskan

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Mei 2020, 3:34 pagi

Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) masih diteruskan dan mereka yang membuat permohonan sehingga 27 April dan telah diluluskan, adalah layak mendapat bantuan kewangan itu, maklum Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Perkeso tampil menjelaskan mesej tular di media sosial mendakwa program itu dihentikan kerana kekurangan dana adalah tidak benar dan tidak menggambarkan status sebenar program tersebut.

“Setakat hari ini, Perkeso telah menerima sejumlah 27,222 permohonan daripada majikan membabitkan 230,652 pekerja dan peruntukan sebanyak RM120 juta sebagai bantuan kewangan untuk tempoh sebulan kepada 200,000 pekerja di bawah program itu.

“Ketika ini, Perkeso sedang memproses permohonan itu dan mengagihkan dana kepada permohonan yang telah diluluskan berdasarkan syarat yang telah ditetapkan,” kata suatu kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan (gambar, bawah) hari ini menjelaskan Perkeso masih menerima permohonan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

"(Perkeso) akan menyalurkan dana kepada pemohon yang diluluskan permohonannya berdasarkan syarat-syarat kelayakan," katanya.

Skim Perkeso itu diumumkan pada 16 Mac lalu, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bagi mengurangkan beban majikan yang terjejas secara ekonomi akibat pandemik Covid-19.

ERP memperuntukan RM600 sebulan kepada penyumbang Perkeso yang layak yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta bagi program tersebut yang mana RM60 juta adalah daripada kerajaan manakala RM60 juta adalah daripada Skim Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS).

Semalam, tular di Twitter bahawa program ERP telah ditutup berkuat kuasa pada 22 April dan permohonan yang dikemukakan selepas tarikh itu tidak akan diproses.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.