Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Ubah cara fikir terhadap sekuriti makanan pasca Covid-19

Seorang pakar sekuriti makanan memberitahu bahawa sektor makanan perlu diberi keutamaan dalam menangani krisis akibat wabak Covid-19 memandangkan ia sangat penting kepada keselamatan negara.

Profesor Dr Paul Teng, Felo Kanan Adjung (Sekuriti Makanan) dari S Rajaratnam School of International Studies (RSIS) Singapura berkata polisi sesebuah kerajaan perlu memberi keutamaan kepada sekuriti makanan.

"Pertanian perlu diberi keutamaan. Sebenarnya, (sektor pertanian) perlu dibenarkan untuk terus beroperasi semasa krisis.

"Kita lihat pada awal pandemik Covid-19, pertanian tidak diberi keutamaan. Tetapi, apabila ia menjadi parah, kita mula mengiktiraf pertanian. 

"Nampaknya, Covid-19 memberi kesedaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan berbanding kertas-kertas cadangan yang kami kemukakan," katanya yang merupakan panelis dalam diskusi atas talian 'Impak Covid-19 terhadap sekuriti makanan'.

Forum berkenaan merupakan anjuran Science Media Centre (SMC) Malaysia bersama International Service for the Acquisition of Agri-biotech Applications (ISAAA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Koordinator antarabangsa ISAAA, Dr Mahaletchumy Arujanan bertindak sebagai moderator.

Menurut Dr Paul, sebarang tindakan menghentikan penglibatan sektor pertanian akan mengganggu rantaian makanan.

"Negara seperti India dan China mula berubah memberi keutamaan kepada pertanian," jelasnya.

Bagaimanapun Dr Paul berkata, sistem rantaian makanan tidak tertumpu kepada petani sahaja.

"Sistem makanan itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian makanan.

"Tidak kira rantaian itu panjang atau pendek, kalau ada gangguan, pada akhirnya pengguna akan terjejas dengan bekalan makanan," katanya.

'Ini masa tukar cara berfikir'

Menjawab satu soalan lain, Dr Paul berkata sehingga kini sektor pertanian tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang menjana keuntungan lebih tinggi kepada kerajaan berbanding sektor lain.

"Walaupun, kita percaya makanan adalah penting, tetapi dalam aktiviti ekonomi, pertanian tidak dapat menandingi sektor seperti pembekalan komponen elektrik.

"Kerajaan kebanyakan masa hanya memberi perhatian kepada sektor yang memberi keuntungan lebih tinggi.

"Ini masa untuk menukar cara fikiran kita dalam sistem pemerintahan sebuah negara," katanya.

Beliau juga ditanya mengapa kerajaan memberi peruntukan yang tinggi terhadap sektor kesihatan seperti pembinaan hospital tetapi tidak kepada kemudahan simpanan bekalan makanan.

"Maaf untuk kata. Daripada segala kajian yang dilakukan, bidang penyelidikan dan  pembangunan pertanian antara yang menerima peruntukan paling rendah daripada sektor awam.

"Ini perlu ditukar (dalam pasca Covid-19). Kalau kita tidak tukar, kemudian sektor swasta akan mengambil alih. Bila sektor swasta ambil alih, kita semua merungut.

"Ini masanya untuk melabur lebih banyak dalam sektor pertanian yang akan memperkasakan petani dan ia secara langsung juga memperkasakan pengguna," katanya.

Lihat Komen
ADS