Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Zahid, suami akan didakwa dalam masa terdekat
Diterbitkan:  May 2, 2020 9:58 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Nurulhidayah, anak kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, akan didakwa di mahkamah atas tuduhan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), menurut polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Huzir Mohamed berkata beliau akan didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Suami Nurulhidayah, Saiful Nizam Mohd Yusoff juga akan didakwa atas pertuduhan yang sama, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Kedua-dua mereka telah pun diambil keterangan pada 24 April. Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan telah mendapat arahan untuk menuduh kedua-dua mereka...Pertuduhan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga Rm1,000 atau penjara tidak lebih sebulan.

Malaysiakini telah menghubungi Nurulhidayah untuk mendapatkan responsnya berkaitan perkara ini.

Pada 25 April lalu, polis berkata telah membuka kertas siasatan terhadap Nurulhidayah dan Saiful Nizam berhubung dakwaan melanggar PKP.

Ia selepas Nurulhidayah memuat naik gambar pertemuan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli MOhamad dan Timbalan Menteri Alam Sekitar Masrizal Muhammad di Instagram.

Ia mencetuskan kritikan ramai kerana didakwa melanggar PKP.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak Razman Zakaria masing-masing didenda RM1,000 kerana melanggar PKP.

Lihat Komen
ADS