Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK Perak lapor polis isu kiriman Facebook tuduh Wan Azizah curi AS$50 juta
Diterbitkan:  May 5, 2020 7:19 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Satu laporan dibuat berhubung kiriman Facebook yang didakwa berunsur hasutan terhadap bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung sumbangan AS$50 juta dari Qatar kepada pelarian Rohingya di Malaysia.

Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Perak Zaim Sidqi Zulkifly membuat laporan polis itu di Balai Polis Ipoh, Perak pada pukul 3 petang hari ini meminta pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap hantaran Facebook itu.

"AMK Perak melihat hantaran tersebut satu dakwaan jahat fitnah dan jenayah di bawah seksyen 499 dan seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"AMK Perak berharap tindakan dapat diambil oleh pihak polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) terhadap admin page (pentadbira halaman Facebook) ini," katanya.

Semalam sebuah akaun Facebook dengan nama "Pejabat Timbalan Kanan Setia" memuat naik kenyataan ringkas mendakwa bahawa Wan Azizah telah mencuri dana AS$50 juta disumbangkan oleh Qatar Foundation kepada Kerajaan Pakatan Harapan.

Laman Facebook itu juga menggunakan perkataan-perkataan tidak senonoh terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim dan partinya.

Bagaimanapun, kenyataan itu dipadamkan selepas mendapat kritikan daripada warga maya di media sosial.

Untuk rekod, Wan Azizah pada 29 April berkata bahawa sumbangan AS$50 juta dari Qatar kepada pelarian Rohingya di Malaysia tidak pernah disalurkan kepada Pakatan Harapan.

Sebaliknya, dana itu disalurkan terus kepada beberapa NGO berkaitan dengan Yayasan Kebajikan Negara cuma menjadi penyelaras.

Wan Azizah juga menjelaskan bantuan kemanusian daripada Qatar Fund for Development (QFFD) kepada pelarian Rohingya diperuntukkan dalam tiga sektor - kesihatan, pendidikan dan kehidupan berdikari.

Lihat Komen
ADS