Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan berhak buat liputan kes mahkamah anak Zahid - Geramm
Diterbitkan:  May 5, 2020 8:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Kumpulan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata wartawan seharusnya dibenarkan membuat liputan perbicaraan mahkamah terhadap Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya Saiful Nizam kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kumpulan pengamal media itu berkata sekurang-kurangnya lima wartawan yang hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk membuat liputan kes itu diarahkan keluar dari ruangan sidang tersebut tanpa diberikan alasan yang jelas.

"Geramm percaya status pasangan tersebut yang boleh dikatakan berpengaruh tidak seharusnya menjadi pertimbangan dalam apa-apa keputusan yang diambil.

"Maklumat yang seharusnya boleh didapati secara terus, tetapi akibat halangan tidak berasas, terpaksa diperoleh melalui Timbalan Pendakwa Raya bertugas setelah selesai sidang pendengaran.

"Jika sekatan terhadap sumber maklumat utama diterima sebagai satu 'norma baru', wartawan akan semakin terdedah kepada risiko kesilapan fakta atau kegagalan menyampaikan maklumat yang berimbang," kata kumpulan itu dalam kenyataan media hari ini.

Kumpulan itu Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahwa "tempat yang dalamnya mana-mana Mahkamah diadakan bagi maksud membicarakan apa-apa kausa atau perkara, sivil atau jenayah, hendaklah disifatkan sebagai suatu mahkamah terbuka dan awam yang kepadanya orang ramai pada amnya mempunyai akses."

"Geramm ingin menegaskan bahawa semua wartawan mempunyai hak yang sama dengan mana-mana orang awam untuk berada di dalam ruang mahkamah bagi tujuan membuat liputan, melainkan bagi pendengaran yang dijalankan dalam kamar hakim atau 'in camera' (terlindung) bagi tujuan keselamatan," kata kenyataan itu lagi.

Awal hari ini, Nurulhidayah dan Saiful mengaku bersalah atas tuduhan melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Nurulhidayah adalah anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nurul Hidayah dan suaminya dituduh melakukan perjalanan dari Kajang ke Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada jam 9 pagi 20 April, dan masing-masing didenda RM800 kerana kesalahan itu.

Undang-undang tersebut memperuntukkan denda maksimum RM1,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS