Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu tak berhasrat sertai semula PH - Ketua Penerangan
Diterbitkan:  May 7, 2020 5:55 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Bersatu tidak berhasrat kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas meninggalkan gabungan itu pada 23 Februari lalu, kata Ketua Penerangannya, Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad juga tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH dan Warisan bagi pihak Bersatu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa Bersatu tidak pernah membincangkan perkara ini dan tidak berhasrat untuk menyertai semula PH.

"Bersatu juga ingin menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei 2020 dan ia adalah satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Mahathir menandatangani kenyataan media bersama menuntut parlimen supaya bersidang penuh.

Jelas Radzi, sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.

Pada 23 Februari lalu, Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat keputusan keluar PH yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Susulan itu Mahathir yang juga pengerusi Bersatu melepaskan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh sekali gus menyaksikan kemelut politik negara tercetus.

Muhyiddin dan majoriti anggota Parlimen Bersatu kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS dan GPS.

Bagaimanapun Mahathir menolak kerjasama itu kerana enggan menerima penyertaan Umno dan beliau terus memihak bersama PH.

Empat hari lalu, Menteri Besar Kedah Mukhriz Kedah menyeru ahli Bersatu supaya kembali bersama dengan PH dengan alasan nasib Bersatu lebih baik jika bersama pakatan itu.

Pada 5 Mei lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata PH bersikap terbuka jika Bersatu berhasrat untuk menyertai gabungan itu semula.

Bagaimanapun, Anwar mengingatkan Bersatu perlu patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori PH.

'Pandangan peribadi Mukhriz'

Mengulas mengenai seruan Mukhriz supaya Bersatu kembali bersama PH, Radzi berkata ia adalah pandangan peribadi calon presiden Bersatu itu.

"Bersatu ingin menegaskan bahawa kenyataan Mukhriz yang menyeru ahli-ahli Bersatu supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti," jelasnya.

Sementara itu Radzi mengingatkan ahli parti itu supaya sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti dan melaksanakan dasar-dasar parti.

Jelasnya, mana-mana ahli yang ingkar terhadap keputusan dan dasar parti boleh terlucut keahlian serta merta.

"Saya ingin mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

"Oleh itu, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang telah dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti," katanya.

Lihat Komen
ADS