Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker terima usul agar Dewan Rakyat bersidang 8 hari dibahas
Diterbitkan:  May 8, 2020 8:22 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima satu usul tergempar berkenaan gesaan agar sidang Parlimen pada 18 Mei ini, yang dijadual berlangsung sehari sahaja, dilanjutkan kepada lapan hari.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ariff berkata beliau telah menerima usul daripada Anggota Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong, dan memutuskan untuk menerima sebahagian daripadanya.

Empat perkara yang dibangkitkan dalam usul itu ialah:

  • Usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
  • Undi percaya kepada Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.
  • Bahawa Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri, dan tidak terikat dengan mana-mana peraturan terutama perintah kawalan pergerakan (PKP).
  • Usul agar sidang Dewan Rakyat dilanjutkan daripada sehari kepada lapan hari.

"Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang diberikan, saya memutuskan agar sebahagian ditolak dengan alasan usul dikemukakan tidak perlu disegerakan.

"...Dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak," katanya.

Ariff tidak menyatakan secara khusus bahagian usul yang diterima, atau bila ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

VK Liew

Bagaimanapun, Liew dalam kenyataan berkata Ariff telah menolak dua bahagian pertama usulnya, dan menerima dua bahagian lagi berkenaan tempoh sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata speaker telah memaklumkan kepadanya berkenaan perkara itu dalam sepucuk surat bertarikh 5 Mei.

Memetik surat tersebut, Liew berkata Ariff memamklumkan kerajaan sudah pun mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, keputusan itu bersifat pramatang memandangkan keputusan anggota Dewan Rakyat pada 18 Mei ini masih belum diketahui.

Pada masa sama, Liew berkata Ariff memaklumkan bahagian ketiga dan keempat usulnya menepati keperluan sebuah usul tergempar, berdasarkan Peraturan 18 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Malaysiakini menghubungi Ariff untuk penjelasan tetapi beliau enggan mengulas lanjut dan meminta ia dilaporkan berdasarkan kenyataannya.

Ditanya berkenaan sama ada beliau menerima sebahagian usul Liew berkenaan tempoh sidang, Ariff memberitahu Malaysiakini bahawa "penjelasan (Anggota Parlimen) Batu Sapi sudah mencukupi."

Lihat Komen
ADS