Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: Bersedekah cara alternatif ketika Ramadan

Ramadan membuka ruang kepada setiap umat Islam untuk melakukan amal kebajikan kerana akan diberi ganjaran yang sangat istimewa melebihi bulan lain dan antara amalan yang digalakkan adalah bersedekah.

Satu daripada caranya adalah dengan memberi makan kepada orang berpuasa kerana ganjaran pahala yang disediakan amat besar, maka, tidak kira siapa pun masing-masing berebut mengambil peluang ini untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim dan fakir miskin.

Bagaimanapun, Ramadan tahun ini ternyata berbeza apabila negara dilanda wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk tidak boleh berhimpun apatah lagi berbuka puasa beramai-ramai di surau, masjid, hotel atau restoran.

Justeru, Arba Foundation mengambil inisiatif membantu golongan memerlukan dengan menyalurkan bantuan wang tunai menerusi program Infaq Berbuka Puasa (Keluarga Susah Di Malaysia) pada Ramadan kali ini.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Azlan Shah Nabees Khan, program julung kali yang dianjurkan itu bermatlamat membantu keluarga yang menghadapi kesusahan akibat hilang pekerjaan kerana PKP dengan memindahkan wang tunai untuk mereka yang terlibat.

“Program ini adalah projek istimewa yang baru dilancarkan pada 28 April lepas dan ia dibuat khas kerana PKP. Keutamaan kami adalah menyelamatkan mereka yang berada dalam keadaan terdesak.

“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan, lebih 50 peratus rakyat Malaysia bekerja sendiri dan gaji mereka adalah gaji harian. Jadi, pada waktu PKP ini, mereka hilang punca pendapatan. Lebih teruk, simpanan mereka hanya kurang dari sebulan dan kebanyakannya terdiri daripada penjaja kecil dan miskin bandar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program itu menawarkan harga serendah RM15 sehingga RM450 mengikut hari, mingguan atau bulanan bagi sebuah keluarga dan ia akan digunakan untuk membeli barang dapur untuk berbuka puasa.

“Setakat ini, kami menerima lebih 100 permohonan di seluruh negara. Mereka adalah antara yang melalui saringan dan adalah keluarga yang paling memerlukan buat masa ini. Impian kami agar tabung sumbangan Infaq Berbuka Puasa ini disumbang oleh lebih ramai orang agar dapat memudahkan seramai mungkin keluarga susah di seluruh negara,” katanya.

Dari umrah kepada kurma

Berbeza pula cerita agensi pelancongan dan umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang terpaksa menukar cara perniagaan akibat terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Akur dengan situasi berkenaan, ketua pegawai operasinya Shahrul Izuan Shafie berkata pihaknya mengambil peluang ini dengan mengagihkan lebih 22.5 tan atau 7,500 kotak kurma Sukkari yang menjadi pilihan di Makkah dan Madinah ke seluruh negara.

“Kami bukan sahaja menjual tetapi juga membuka peluang kepada mereka yang ingin berinfaq (sedekah). Alhamdulillah, dengan cara ini, kami berjaya mengumpul lebih 300 penderma menerusi program ini dalam tempoh sebulan,” katanya.

Menghuraikan mengenai situasi yang dialami kini, pendakwah Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang berkata infaq Ramadan masih boleh dijalankan dengan cara atau teknik yang berbeza seiring dengan keadaan semasa yang sedang dihadapi berikutan penularan wabak Covid-19, di seluruh dunia.

“Kalau sebelum ini, kita menaja program berbuka puasa di masjid, rumah atau hotel, tetapi mungkin sekarang ini kita boleh buat sebaliknya. Contohnya, perkhidmatan penghantaran makanan, beli barangan basah, salurkan wang tunai kerana keadaan sekarang tidak sesuai untuk sebarang majlis,” katanya.

Jelasnya, meskipun dengan cara begitu, fadilat untuk memberi makan kepada orang berpuasa tetap ada dan wujud serta mengingatkan orang supaya tidak melanggar peraturan dalam mengejar pahala dan seterusnya boleh membahayakan orang lain.

Penceramah terkenal, Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata pelaksanaan infaq Ramadan sangat bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan kita sentiasa menjamu orang berbuka puasa kerana ia memberi ganjaran yang cukup besar.

“Jadi, teruskanlah hasrat menderma, membantu dan memberi makan makan kepada orang berbuka puasa kerana perbuatan ini akan menyebabkan Allah mengampunkan dosa, mendapat keberkatan dan dipermudahkan segala urusan walaupun kini negara diserang penularan pandemik Covid-19 dan perlu mematuhi PKP,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS