Pemimpin Islam, Abu Bakar Ba'asyir, 66, hari ini dibebaskan dari penjara di Penjara Cipinang, Jakarta selepas menjalani hukuman penjara selama 30 bulan.

Abu Bakar yang dibebaskan pada pukul 7.17 pagi waktu tempatan, hampir sejam awal dari masa yang dijadualkan untuk dibebaskan, dikelilingi oleh penyokongnya sebaik sahaja beliau melangkah keluar dari pintu Penjara Cipinang.

Sebuah kereta menunggu untuk membawanya ke satu tempat yang tidak diketahui dari penjara tersebut, di mana ramai wartawan tempatan dan asing berkumpul sejak awal pagi tadi menunggu Abu Bakar dibebaskan.

Abu Bakar didakwa seorang pemimpin Jihad kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan beberapa siri serangan bom di Asia Tenggara.

Laporan Bernama yang memetik agensi berita Antara menyatakan, ketua JI itu mungkin ke masjid Istiqlal di ibunegara Indonesia itu untuk melakukan solat.

Dua buah kereta polis dan motokar yang membawa penyokongnya mengiringi beliau.

Semasa menjalani hukuman penjara, Abu Bakar yang disabitkan kesalahan kerana terbabit secara langsung dalam pengeboman Bali pada 2002 telah dikurangkan tempoh dipenjaranya.

Pada April 2004, beliau diramal dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara 18 bulan kerana kesalahan imigresen dan pemalsuan dokumen tetapi sebaik sahaja di bebaskan, Abu Bakar ditangkap semula kerana kes pengeboman itu, ramai percaya bahawa tindakan itu diambil kerana tekanan daripada kerajaan Australia.

Kira-kira 200 pelancong kebanyakan dari Australia terbunuh dalam pengeboman itu.

Hukuman penjara Abu Bakar sebelum ini dikurangkan empat bulan dan 15 hari pada Ogos tahun lepas sempena dengan Hari Kemerdekaan Indonesia, walaupun terdapat bantahan daripada Australia.

Terdahulu, seorang sahabat pemimpin agama itu, Fuad Bawazir, berkata Abu Bakar akan pulang terus ke rumahnya di Ngruki Jawa Tengah selepas menamatkan hukuman penjara itu hari ini.

Fuad, yang pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan, berkata Abu Bakar akan memulakan semula aktivitinya sebelum ini di Sekolah Asrama Penuh Islam Ngruki di Solo di mana beliau adalah penaung sekolah tersebut.

Beliau berkata pemimpin Islam itu mengakui bahawa beliau dilayan dengan baik semasa di penjara sungguhpun sebelum ini beliau bimbang lawatan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Donald Rumsfeld ke Jakarta pada 6 hingga 7 Jun lepas mungkin mengenakan tekanan kepada kerajaan Indonesia untuk melanjutkan lagi tempoh tahanan tersebut.

Sesetengah graduan sekolah itu, yang terbabit dengan pengeboman di Bali, telah dipenjara sementara menunggu hukuman gantung sampai mati.