Untuk mengelakkan rasa sedih atau sayu kerana tidak dapat berhari raya di kampung seperti selalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyarankan orang ramai mendengar lagu beberapa lagu yang sesuai.
Menyampaikan ucapannya secara langsung hari ini Muhyiddin berkata antara lagu yang dicadangkan ialah yang membawa mood gembira namun sesekali boleh juga didengar Dendang Perantau.
"Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Apabila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.
"Stesen-stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu, saya pun berasa sayu juga.
"Mainkanlah lagu-lagu hari raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu Jange Kelik La Weii. Lagu ni pun OK-lah," katanya menerusi perutusan khas secara langsung di RTM hari ini.
Tambahnya, ziarah-menziarahi masih boleh dilakukan namun hanya dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.
"Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka," katanya dalam satu perutusan khas secara langsung di RTM sebentar tadi.
Dendang Perantau ialah karya nyanyian Allahyarham P Ramlee dan dianggap sebagai 'lagu wajib' dalam setiap sambutan hari raya. Bagaimanapun irama dan mesej yang disampaikan bernuansa sedih.
Harap Sabah, Sarawak beri kelonggaran
Untuk rekod, umat Islam dijangka akan menyambut Aidilfitri pada 24 Mei ini dan kelaziman sebelum ini ialah, sebahagian besar orang di bandar akan pulang ke kampung masing-masing untuk meraikannya.
Bagaimanapun dengan pelaksanaan kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sekarang akan dilanjutkan selama empat minggu lagi amalan itu tidak lagi dapat dilakukan.
Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan kelonggaran kepada pasangan suami isteri - yang tinggal berjauhan atas urusan kerja - untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri.
Tambahnya, bagi perjalanan rentas negeri membabitkan Sabah dan Sarawak, beliau memohon agar kerajaan negeri turut memberikan kelonggaran yang sama.
"Mengenai perjalanan rentas negeri, saya diberitahu ada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.
"Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.
"Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga.
Bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan Sarawak, saya mohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga memberikan kelonggaran yang sama," katanya lagi.
Jelas Muhyiddin, pihak yang ingin membuat perjalanan tersebut boleh hadir ke balai polis berdekatan atau membuat permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
