Malaysiakini
BERITA

2 Adun PKR keluar parti, Kedah jatuh ke tangan PN

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Mei 2020, 5:14 pagi

  • KEMASKINI 12.26PM | Dr Robert Ling Kui Ee dan Azman Nasrudin membuat pengumuman rasmi dalam satu sidang media bersama.

Dua Adun PKR di Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar daripada parti itu, dan menjadi Adun bebas yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu sidang media bersama tengah hari ini, Azman berkata keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan secara mendalam.

"Saya Azman, bersama Yb Robert mengumumkan keluar daripada PKR dan memberikan sokongan padu kepada perdana menteri.

"Kami akan berkhidmat sebagai Adun bebas," katanya dalam sidang media yang diadakan di pusat khidmatnya di Sungai Petani.

Mereka berdua juga berkata tidak lagi menjadi "adun PKR".

Pengumuman itu sudah dijangka apabila seorang pegawai Ling memberitahu Malaysiakini bahawa kedua-duanya akan mengadakan sidang media berkenaan "kedudukan" dalam kerajaan negeri.

Dengan pengumuman Ling dan Azman itu, Menteri Besar Mukhriz Mahathir kini mempunyai sokongan 17 kerusi di DUN dan PN pula 19 kerusi.

Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) Kedah turut mengeluarkan satu jemputan “sidang media khas”, dijadualkan berlangsung jam 3 petang ini di Kompleks PAS Kedah.

Sementara itu, Ling menyatakan bahawa beliau hilang keyakinan kepada PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

"Semenjak beliau memimpin parti ini pasca pemilihan 2018, parti bertambah buruk dan kemuncaknya parti telah berpecah-belah, dengan sebahagian pimpinan Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat, selain meninggalkan parti ini.

"Jadi hari ini, saya mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Ketua Cabang PKR Sungai Petani serta merta. Peletakan jawatan ini juga melibatkan dua pertiga jawatankuasa Cabang dan sayap AMK Sungai Petani," dakwnya.

Beliau juga membangkitkan penggantungan timbalan ketua cabangnya Firdaus Yusoff dan beberapa anggota jawatankuasa cabang itu yang disifatkannya sebagai "mencabar dirinya dan teman-teman lain" yang selama ini setia dengan PKR.

Minggu lalu, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya membuat kenyataan bahawa perubahan kerajaan negeri Kedah “sudah tidak dapat dielakkan lagi” dan mendakwa PH tempang di Kedah dan hilang majoriti.

Malah, Ahmad turut menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk menerajui pentadbiran Kedah.

Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu, mengekalkan kerajaan PH di Kedah meskipun presiden parti Muhyiddin Yassin telah membawa Bersatu keluar daripada gabungan itu untuk membentuk PN bersama-sama BN, PAS, GPS dan wakil bebas.

Mukhriz mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden dalam pemilihan parti yang kini tertangguh gara-gara Covid-19. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan