Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya nama, nombor telefon perlu direkodkan di premis perniagaan - Ismail
Diterbitkan:  May 12, 2020 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Premis perniagaan seperti pasar raya hanya perlu merekodkan nama dan nombor telefon pelanggan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media hari di Putrajaya hari ini, Ismail berkata kerajaan mengambil maklum kebimbangan dan rungutan orang ramai mengenai sesetengah pasar raya yang meminta nombor kad pengenalan dan alamat rumah mereka.

"Kita perlukan rekod pengunjung, tujuan dia kalau berlaku apa-apa yang berkaitan dengan kes positif Covid-19. Jadi, pengesanan ini dapat dilakukan.

"Bagaimanapun saya faham ada antara mereka tidak mahu letakkan alamat rumah dan nombor kad pengenalan misalnya, dari segi keselamatan pun mereka takut untuk letakkannya dan timbul perkara-perkara lain selepas itu," katanya.

Ismail berkata, aplikasi Gerak Malaysia sebagai contoh hanya memerlukan nama dan nombor telefon pengguna untuk mengesan mereka sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19.

Sementara itu mengulas mengenai tangkapan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Ismail berkata operasi memburu mereka masih berterusan tanpa mengira waktu.

"Saya percaya selepas tamat PKP ini pun Ops PATI akan berterusan. Jadi, Ops Pati ini tidak ada kena mengena dengan PKP atau PKPB," katanya.

Jelas Ismail, apa yang dilakukan pihak berkuasa dalam membendung kemasukan warga asing tanpa dokumen yang sah di negara merupakan perkara biasa dan turut diamalkan negara lain.

"Saya percaya tidak ada negara di dunia memberikan kebebasan kepada rakyat luar tanpa dokumen untuk masuk ke negara masing-masing.

"Isu di malaysia ini dihadapi juga di negara-negara lain dan saya tak dengar pun (negara yang benarkan warga asing masuk tanpa dokumen)," katanya.

Oleh demikian, Ismail menasihatkan pihak luar yang lantang mengkritik kerajaan atas tangkapan yang dibuat terhadap Pati meneliti undang-undang negara mereka sendiri.

"Adakah mereka memberi kebenaran atau membuka negara mereka kepada sesiapa sahaja yang mahu masuk tanpa dokumen atau pun mereka sama dengan kita.

"Kalau sama dengan kita saya percaya tindakan kita adalah benar, tindakan kita berpatutan kerana Malaysia mampunyai undang-undang yang jelas mengenai Pati ini. Jadi, kita hanya melaksanakan undang-undang kita sahaja,"katanya.

Lihat Komen
ADS