Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM cuba cara inovatif elak kesesakan di hospital, klinik

Kementerian Kesihatan sedang meneliti beberapa langkah untuk mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara sehingga penjarakan sosial dapat dilaksanakan secara  berkesan.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, antara amalan baru yang akan dilaksanakan termasuk sistem temu janji pesakit, di mana pesakit hanya akan datang ke klinik mengikut waktu temu janji mereka.

Ini berbeza dengan amalan biasa di mana pesakit biasanya akan menunggu di fasiliti KKM sehingga nama mereka dipanggil.

Noor Hisham berkata pendekatan lain yang diambil adalah memperkenalkan klinik maya di mana pesakit tidak perlu hadir secara fizikal untuk bertemu kakitangan perubatan, mahupun mengambil ubat mereka.

"Seperti yang anda ketahui di fasitii penjagaan kesihatan di KKM, sama ada klinik atau hospital, ia selalu sesak sepanjang masa.

"Sekarang kita meneliti bagaimana kita dapat memperkenalkan sistem temu janji dan memastikan kita hanya berjumpa pesakit ketika tiba waktunya. 

"Dan pesakit yang datang ke hospital atau klinik harus menunggu di dalam kereta mereka terlebih dahulu, jadi apabila nama mereka dipanggil barulah mereka masuk.

"Oleh itu, kita berusaha meneliti banyak idea dan inovasi untuk memastikan bahawa kita mematuhi prosedur operasi standard yang kita ada khususnya di KKM," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wartawan mengenai gambar tular pesakit baru-baru ini yang berada ruang sempit dalam klinik kerajaan sementara menunggu berjumpa doktor.

Sebelum ini KKM menasihati orang ramai agar mengelakkan diri berada dalam perkumpulan besar bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Menurut Noor Hisham, KKM telah memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah kepada rakyat Malaysia seperti dalam kes penjagaan selepas bersalin.

Sekarang, tambahnya, KKM sedang mempertimbangkan untuk memperluas perkhidmatan itu termasuk kepada pesakit strok.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS