Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Petugas barisan depan cuti raya bergilir, kata KP kesihatan

Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dibenarkan mengambil cuti Hari Raya secara bergilir, kata ketua pengarahnya hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengumuman ini berdasarkan trend kes terkini, yang hanya merekodkan dua angka sehari.

Bagaimanapun, jelasnya, kelulusan cuti tersebut tertakluk kepada perubahan berpandukan trend penularan wabak tersebut.

"Kita lihat keadaan semasa. Setiap hari kami memantau angka kes harian dan lihat kepada trendnya.

“Kalau lihat setiap hari sekarang dua angka dan harap (kes) harian kekal dua angka.

“Petugas kesihatan dan warga kerja akan lihat bagaimana untuk cuti bergilir seperti mana dilaksanakan di hospital dan klinik. Kita bergilir-gilir,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita apakah KKM akan membenarkan petugas barisan hadapan mengambil cuti Raya sekiranya kes yang direkodkan berterusan rendah.

“Kita nak tekankan, perintah kawalan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan 4 Mei 2020 dan jangka 18 Mei baru dalam tempoh 14 hari kita akan lihat sama ada peningkatan atau penurunan kes.

“Jadi akan pantau setiap hari tindakan sama ada boleh lepaskan warga kerja KKM boleh bercuti bergantung pada keadaan setiap hari,” tambahnya.

Setakat tengah hari ini, KKM merekodkan 40 kes positif, di mana 31 yang dikesan merupakan warga asing dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ini membawa kepada jumlah keseluruhan 6,819 kes.

Jumlah kes baru hampir sebulan ini kekal dua angka sejak 16 April di mana KKM merekodkan sebanyak 110 kes baru.

Sementara itu, mengulas berkenaan ujian pengesanan Covid-19, Noor Hisham menjelaskan terdapat 45 makmal yang berupaya memproses 26,673 sampel sehari.

Bagaimanapun, menjawab pertanyaan adakah KKM akan memulakan saringan besar-besaran, Noor Hisham menegaskan pihaknya akan terus dengan pendekatan bersasar.

Menurutnya, KKM mempunyai lapan kumpulan yang disasarkan bagi menjalani aktiviti saringan.

Antaranya peserta tabligh Sri Petaling dan sekolah madrasah, penduduk di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan kluster jangkitan aktif, pasar borong, warga emas, pekerja asing, pegawai perubatan dan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Lihat Komen
ADS