Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Generasi Y dan Z lebih cepat sesuaikan diri dalam normal baru

Pandemik Covid-19 membawa perubahan besar dalam gaya hidup, pekerjaan dan ekonomi masyarakat dunia dengan rakyat Malaysia tidak terkecuali menjalani era kehidupan normal baharu.

Fenomena baru dalam kehidupan yang kini lebih bertumpu kepada dalam talian itu, bagaimanapun dilihat memberi kelebihan kepada golongan belia atau lebih dikenali sebagai generasi Y dan Z yang lebih cepat menyesuaikan diri dalam mengharungi normal baru itu.

Aktiviti seperti bekerja dari rumah, menjual barangan serta pembelajaran dalam talian yang lazimnya tidak begitu dipraktikkan sebelum ini, kini mula menjadi rutin harian dan seterusnya pada masa depan.

Malah, menurut Commerce.Asia, sektor e-dagang menjadi satu daripada segelintir industri yang berkembang maju dalam tempoh mencabar ini, apabila ekosistem itu mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan pada suku pertama 2020.

Keadaan itu juga dilihat bertepatan dengan sambutan Hari Belia tahun ini yang bertemakan ‘Dekad ini, Dekad Anda’, yang menuntut belia sekarang mengisi dan membina negara untuk kelangsungan hidup 10 tahun akan datang demi menjamin negara yang maju dan makmur.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata belia merupakan golongan yang paling cepat menyesuaikan diri kepada perubahan khususnya generasi Z memandangkan mereka dalam lingkungan ‘digital native’ dan sangat terhubung dengan dunia digital.

“Saya lihat dalam konteks persatuan belia, banyak aktiviti dan mesyuarat dibuat dalam talian, malah pertandingan azan juga turut dilakukan dalam talian, memang kita akui dari sudut sosial, mereka terhad untuk melakukan aktiviti di luar rumah seperti kebiasaan sebelum ini.

“Bagaimanapun, secara kesimpulannya, belia dapat menerima perubahan itu dengan cepat, bererti dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP bersyarat ini merubah keadaan normal baru,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata golongan belia mampu membantu menggerakkan ekonomi negara yang terkesan dengan penularan ‘wabak pembunuh’ itu dengan penglibatan mereka melalui perniagaan dalam talian.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memperlengkapkan prasarana agar belia bergerak ke arah ekonomi digital yang menjadi ekonomi arus perdana dengan mempertingkatkan akses 4G di kawasan pedalaman dan memperluas perkhidmatan jalur lebar supaya anak muda di kawasan berkenaan tidak berhijrah ke bandar lebih-lebih lagi dengan ekonomi yang agak meruncing.

Selain itu, beliau berkata peranan anak muda di barisan hadapan membantu negara menangani Covid-19 walaupun berdepan dengan risiko keselamatan tidak perlu dinafikan lagi.

“Peranan dan sumbangan mereka dalam sektor gig ekonomi sebagai penghantar makanan dan barangan keperluan kepada isi rumah perlu diiktiraf kerana secara tidak langsung turut menyokong usaha kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya golongan itu perlu diberi jaminan sekuriti sosial termasuk dalam bentuk insurans, jaminan simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai galakan supaya terus menceburi profesion itu.

Senada dengannya, Pensyarah Kanan (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Mursyid Arshad yang berpendapat peranan besar belia sebagai sukarelawan termasuk dalam Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia jelas menunjukkan komitmen mereka membendung Covid-19.

“Tidak kurang juga penglibatan dari golongan belia yang terlibat dalam kerja sukarela yang bernaung di bawah badan bukan kerajaan (NGO). Sumbangan besar golongan belia di barisan hadapan ini menjadi bukti mereka merupakan tulang belakang kepada negara dan wajar dicontohi,” katanya.

Sementara itu, Tokoh Belia Negara 2019, Ravichandran Balasubraniam berkata dalam mengharungi tempoh mencabar Covid-19 ini, golongan belia perlu sentiasa kekal positif dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam mendepani pandemik yang belum lagi menemui ‘garisan penamat’ itu.

Mengenai Sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini, beliau berkata sambutan itu tetap boleh diteruskan tetapi melalui platform alam maya yang dilakukan secara sederhana.

“Inilah normal baru, mungkin ramai yang rasa janggal kerana setiap tahun diadakan sambutan itu, berhimpun beramai-ramai, bagaimanapun, sambutan melalui dalam talian lebih baik.

“Ia bakal dekatkan jutaan anak muda, kalau seperti sebelum ini, mungkin hanya dapat himpunkan 100,000 ke 200,000 peserta sahaja, berbeza dengan platform maya, semua orang boleh bersama-sama mendengar amanat atau melakukan aktiviti sekiranya mempunyai akses internet,” katanya.

Pada 27 April lepas, Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan memaklumkan sambutan berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu berdasarkan situasi semasa Covid-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS