Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu, BN, PAS, GPS dan 2 parti Sabah sokong penubuhan PN
Diterbitkan:  May 17, 2020 6:21 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Bersatu, BN, PAS, GPS dan dua parti berasaskan Sabah menyatakan sokongan terhadap penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.

Dalam satu kenyataan bersama, enam pemimpin gabungan dan parti berkenaan menggariskan kandungan memorandum persefahaman yang telah dirangka.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg, Presiden PBS, Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan.

Awal bulan ini, sumber Malaysiakini memaklumkan terdapat pemimpin Umno menolak cadangan agar parti itu menyertai PN kerana bimbang akan menjadi sebuah 'parti kecil' dalam gabungan itu.

GPS yang sebelum dilaporkan menegaskan tidak akan menyertai PN, kini akan menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Dua parti berasaskan Sabah yang menyokong penubuhan gabungan tersebut  ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Berikut merupakan kandungan memorandum persefahaman yang telah dirangka:

  • Memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa;
  • Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara;
  • Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63;
  • Memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara; dan
  • Memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat-menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara

Pada 24 Februari lalu, Mahathir mengumumkan secara mengejut meletakkan jawatan perdana menteri manakala Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar daripada PH.

Krisis politik selama seminggu itu selesai apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Bersatu kini dilihat berpecah dua kepada kem Muhyiddin dan kem Mahathir.

Lihat Komen
ADS