Ketua Pemuda DAP akan bertemu Hisham dan Khairy
Ketua Pemuda DAP, Nga Kor Ming akan menemui Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein dan Naibnya, Khairy Jamaluddin untuk membincangkan isu-isu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Pemuda DAP, Nga Kor Ming akan menemui Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein dan Naibnya, Khairy Jamaluddin untuk membincangkan isu-isu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan tarikh pertemuan tersebut akan diadakan tetapi berkata `tidak lama lagi.'
"Kedua-duanya adalah kawan baik saya...jadi saya tidak ada masalah untuk menemui mereka," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Perak berkata Pemuda DAP sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk forum ekonomi yang akan dianjurkan bersama oleh pihaknya dengan Pemuda PAS.
Katanya, beliau telahpun perbincangan dengan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengenai perkara tersebut di Ipoh Rabu lalu.
Menurutnya, tumpuan utama forum tersebut ialah mengenai kebangkitan ekonomi negara China dan India, di samping menilai keadaan semasa ekonomi negara.
Kesan buruk
"Beban hutang negara yang dijangka meningkat kepada RM315.3 bilion pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat," katanya.
Nga berkata, dalam pertemuan itu, beliau memberitahu Salahuddin bahawa Pemuda DAP sedia bekerjasama dengan Pemuda PAS dalam isu-isu yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua parti tidak mempunyai hubungan rasmi, isu seperti rasuah, salahguna kuasa dan pendidikan perlu diperjuangkan secara bersama supaya ia lebih berkesan.
"Saya merasakan banyak isu yang boleh diutarakan oleh DAP dan PAS dan kedua-dua pihak perlu bersatu supaya perjuangan mereka lebih bermakna," katanya lagi.
Pemuda DAP, katanya juga sedia bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti-parti politik lain dalam pelbagai isu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Nga berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau dan Salahuddin tidak membincangkan mengenai kerjasama politik antara DAP dan PAS.
Barisan Alternatif
Beliau juga menegaskan, buat masa ini Pemuda DAP tidak akan mengadakan hubungan secara rasmi dengan Pemuda PAS, walaupun pernah membentuk Barisan Alternatif (BA) bersama-sama PKR dalam pilihanraya umum 1999.
Bagaimanapun, DAP menarik diri kerana membantah dasar Negara Islam PAS tetapi masih mengekalkan kerjasama dalam isu yang membabitkan keadilan dan kepentingan rakyat.
Sementara itu, Salahuddin ketika dihubungi berkata, Pemuda PAS dan Pemuda DAP mempunyai beberapa persamaan dalam memperjuangkan isu seperti hak asasi manusia, keadilan dan penggunaan bahasa ibunda.
Katanya, ini bermakna kedua-dua sayap parti itu boleh bekerjasama dalam bidang-bidang yang memberi kebaikan kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik.
"Pemuda PAS tidak pernah menolak kerjasama dengan Pemuda DAP dan pihak-pihak lain dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan masyarakat," katanya lagi.
Salahuddin percaya, tindakan Pemuda PAS untuk mengadakan kerjasama membabitkan isu kepentingan rakyat amat ditunggu-tunggu oleh generasi muda.
Isu Matthias Chang
Salahuddin juga diminta mengulas mengenai isu bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang yang meletakkan lima kitab termasuk al-Quran dan Kitab Injil di hadapanny sebelum bersumpah apa beliau cakap adalah benar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kawasan Kubang Kerian tidak fikir bahawa Matthias berniat mahu menghina al-Quran.
"Saya rasa beliau mahu memberitahu kepada semua orang bahawa beliau bersungguh-sungguh dengan apa yang dikatakan semasa akad sumpah itu," katanya.
Bagaimanapun, tindakan Matthias itu dikritik oleh beberapa ulama dan cendiakawan Islam yang menganggap tindakannya itu sebagai menghina al-Quran dan agama Islam.
Antara mereka ialah Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut; Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, Reaktor Kolej Islam Darul Ridzuan di Ipoh Perak, Prof Datuk Mohamad Yusoff, dan pengkaji kebudayaan Islam, Datuk Dr Imran Kasimi.

