Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jayakumar disiasat polis lepas buat kenyataan tentang sidang parlimen

Bekas menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar disiasat polis berhubung satu klip video pendek didakwa memaparkan beliau mengatakan bahawa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini adalah "tidak berfaedah" dan "mengarut."

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah D5 (Pendakwaan dan Perundangan) SAC Mior Faridalathrash Wahid kepada Malaysiakini hari ini.

Difahamkan, sebanyak 33 laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat itu.

"Kami siasat dia mengikut Akta Hasutan," katanya.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa Putrajaya akan menghapuskan akta kontroversi itu dan akan digantikan dengan akta baru.

Dalam klip video berdurasi tiga minit itu, Jayakumar didakwa antara lain berkata ahli parlimen berada di situ selama sejam hanya untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong dan selepas itu diminta untuk balik atas alasan Covid-19.

Kata beliau semua itu berlaku kerajaan takut untuk bersemuka dengan wakil rakyat pembangkang serta usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin.

Buat pertama kali parlimen bersidang dengan sangat singkat pada 18 Mei lalu. Ia asalnya dijadual selama satu hari tetapi dipendekkan lagi dengan hanya mendengar titah ucapan Agong.

Ia merupakan sidang pertama parlimen sejak Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton yang membabitkan sebahagian besar ahli parlimen Bersatu diketuai Muhyiddin serta disokong Umno dan PAS.

Gerakan itu turut menyaksikan sejumlah ahli parlimen PKR berpaling tadah. Mereka kemudian menyertai Bersatu. Ketua mereka, Azmin Ali, dilantik sebagai salah seorang menteri kanan Muhyiddin.

Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin sebelum parlimen ditetapkan bersidang untuk hanya mendengar titah Agong.

Pengkritik mendakwa kerajaan Perikatan Nasional takut berdepan usul berkenaan selain mengadakan sidang semata-mata untuk mengelakkan parlimen terbubar secara automatik kerana tidak diadakan lebih enam bulan.

PH mendesak sidang parlimen diadakan sekurang-kurangnya lapan hari bagi membolehkan pelbagai isu penting negara dapat dibahaskan. Antaranya ancaman wabak Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS