Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tandatangan memo anti-China: Saya bebas suarakan pandangan - Charles
Diterbitkan:  May 25, 2020 2:33 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Anggota Parlimen DAP Charles Santiago mempertahankan haknya untuk menyuarakan pandangan mengenai cadangan undang-undang keselamatan negara baru oleh China di Hong Kong.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, Charles berkata anggota Jawatankuasa Pusat MCA Chew Kok Woh tiada keperluan untuk membangkitkan perkara itu.

"Ini jelas kes terdesak untuk 'menjolok sarang tebuan' walaupun ia bukanlah satu isu," katanya.

Charles mengulas kecaman Chew terhadapnya kerana menandatangani memorandum anti-China bersama-sama 190 anggota Parlimen dan penggubal undang-undang daripada 23 negara.

Chew berkata bahawa China bebas untuk merangka sebarang undang-undang dan Hong Kong memang memerlukan undang-undang seumpama itu, untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan bagi persekitaran perniagaan yang kondusif.

Beliau juga mempersoalkan sama ada ia merupakan pandangan rasmi DAP dan menggesa kepimpinan parti itu untuk mengarahkan Charles menarik balik tandatangannya.

Bagaimanapun Charles mempersoalkan sama ada pemimpin MCA itu tidak dapat menggunakan kebebasan bersuaranya kerana peraturan partinya.

"Saya hanya membuat telahan kerana dia seperti tidak memahami logi mudah bahawa saya ada pandangan yang bebas, yang saya bebas suarakan sebagai individu atau anggota sesebuah organisasi.

"Kerana itulah yang saya lakukan ketika menandatangani memorandum antarabangsa terhadap China," katanya lagi.

Charles juga menggesa Chew untuk mengambil tahu akan kebimbangan yang dinyatakan terhadap keinginan jangka panjang China untuk memperkukuh kuasanya terhadap Hong Kong.

"Adakah dia tak pernah dengar perkara seperti (tuduhan) menjual rahsia negara, khianat, hasutan yang digunakan oleh China untuk menangkap penentang?" soalnya.

"Saya juga menentang cubaan mengganggu sistem kehakiman Hong Kong memandangkan undang-undang baru yang dirangka China dapat menyaksikan perbicaraan dilakukan secara tertutup," katanya.

Bagaimanapun Charles berkata ia hanya pandangan peribadi dan menyifatkan mana-mana parti atau pertubuhan yang menghargai hak anggotanya tidak akan menghalang anggota menyuarakan pendangan.

"Saya hanya dapat simpulkan yang Chew tidak pernah merasai kebebasan seperti itu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS