Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seks luar tabii: Mahkamah benarkan lelaki cabar kuasa negeri

Mahkamah Persekutuan membenarkan cabaran yang difailkan seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan melakukan seks luar tabii.

Dalam permohonannya, lelaki itu mencabar keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan "persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii".

Menurut dokumen mahkamah bertarikh 14 Mei yang dilihat Malaysiakini, hakim Mahkamah Persekutuan Abang Iskandar Abang Hashim menyatakan merit kes itu jelas dan memerlukan ventilasi di mahkamah berhubung keperlembagaan dan kesahan peruntukan itu.

"Kebenaran (leave) adalah perlu kerana ia melibatkan cabaran berdasarkan premis sama ada undang-undang itu kompeten secara perundangan apabila ia menggubal peruntukan itu, dengan mengambil kira Seksyen 377A Kanun Keseksaan telah pun ada apabila peruntukan itu digubal, dan Seksyen 377A dibuat berdasarkan Perkara 4(h) Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan," menurut dokumen itu.

Lelaki itu merupakan antara sebelas tertuduh yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor tahun lalu. Perbicaraannya ditangguh sementara menunggu keputusan permohonannya.

Dia didakwa "cuba melakukan" persetubuhan luar tabii dengan lelaki lain pada November 2019, di sebuah rumah di Selangor.

Peguam Surendra Ananth, yang mewakilinya, menjelaskan asas cabaran itu adalah badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal Seksyen 28 kerana ia berkaitan undang-undang jenayah, yang tertakluk di bawah persekutuan, dan telah ada undang-undang persekutuan berkenaan perkara itu dalam Kanun Keseksaan.

Dengan keputusan mahkamah ini, pemohon dijangka memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan dan kerajaan Selangor dijangka memfailkan pembelaannya, kata peguam itu.

"Tarikh pendengaran belum ditetapkan setakat ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.

Kuasa negeri dalam undang-undang jenayah Islam

Dia berkata, kes ini hanyalah berkenaan keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, bukan Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Surendra menegaskan kepentingan kes ini adalah untuk menentukan sejuh mana perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah Islam.

"Dari sudut pandang perundangan, kes ini akan menjadi penting untuk menentukan kuasa negeri dalam menggubal undang-undang jenayah Islam kerana syarat penting adalah negeri tidak boleh membuat undang-undang yang ada dalam Senarai Persekutuan.

"Ada banyak undang-undang jenayah Islam pada masa ini yang berkaitan dengan Senarai Persekutuan. Kes ini akan menentukan skop kuasa, atau sejauh mana negeri boleh menggubal undang-undang berkenaan perkara itu," katanya lagi.

Responden kes ini adalah kerajaan negeri Selangor, yang diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Masri Mohd Daud.

Sebelas lelaki yang ditangkap tahun lalu didakwa secara berperingkat di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada Ogos 2019.

Lapan daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 28, yang dibaca bersama Seksyen 52 enakmen sama, manakala tiga lagi didakwa mengikut Seksyen 46 enakmen sama atas tuduhan bersubahat.

Lima orang telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman pada 7 November 2019.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS