Kerajaan tidak membenarkan aktiviti memancing dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana saiz kolam dan kawasan sekitarnya menyukarkan pelaksanaan penjarakan sosial.
Di bawah PKPB yang diumumkan pada 4 Mei lalu, kerajaan mengumumkan aktiviti memancing dibenarkan di bawah syarat-syarat tertentu.
Bagaimanapun, memancing dari bot atau di kolam berbayar tidak masih dibenarkan.
"Saya dah sebut beberapa kali, memancing ini dianggap sebagai riadah tetapi riadah yang boleh menyebabkan berlaku perkumpulan ramai tidak dibenarkan kerana perhimpunan tidak dibenarkan.
"Kolam kita tidak benarkan kerana kolam ia tak macam tasik besar.
"Jadi (tasik) boleh ada jarak dan sebagainya. Nak memancing ikan di tepi sungai, memancing di sawah mungkin boleh, tetapi kalau kolam ia tidak besar keluasannya dan biasanya di kolam ramai orang yang berada di sekeliling kolam tersebut," katanya semasa sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai beberapa tangkapan yang dibuat di kolam memancing baru-baru ini.
'Tiada beza kluster kayangan, bumi'
Dalam pada itu Ismail juga ditanya mengenai individu berstatus VIP yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) berhubung penjalanan rentas negeri dan melakukan ziarah semasa Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, SOP perlu dipatuhi semua individu tanpa mengira status dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati melanggar peraturan.
"SOP sama, tidak ada perbezaan antara kluster kayangan ataupun kluster bumi.
"Sesiapa yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.
Ismail berkata, daripada sejumlah 534 kompaun, sebanyak 266 kompaun dikeluarkan oleh balai polis semalam, di mana 25 daripadanya berkaitan ziarah ketika sambutan Aidilfitri.
Sebanyak 268 kompaun lagi dikeluarkan melalui 257 sekatan jalan raya di seluruh negara.
Menurutnya seramai 136 individu ditahan atas pelbagai kesalahan kerana melanggar PKPB, yang mana 75 ditahan reman dan 61 dibebaskan dengan jaminan polis.
