Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rancangan Kedah ganti kawasan balak langkah ke belakang - Peka
Diterbitkan:  May 28, 2020 12:06 AM
Dikemaskini: 4:06 PM

Rancangan kerajaan Kedah memberi kawasan pembalakan lain sebagai pampasan kepada syarikat pembalakan merupakan satu langkah ke belakang, kata kumpulan alam sekitar, Pertubuhan Pelindung Khazanah Negara (Peka).

Peka berkata walaupun Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan kawasan ganti berkenaan merupakan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang, sebarang aktiviti pembalakan akan menjejaskan alam sekitar dan merosakkan ekosistem.

Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata sekiranya kawasan warta adalah kawasan tadahan hujan, konsesi balak yang melibatkan kawasan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan sama sekali.

"Adalah tanggungjawab pihak berkuasa negeri untuk memastikan bahawa kawasan tadahan hujan dilindungi. Kegagalan untuk berbuat sedemikian boleh dianggap sebagai salah guna oleh pihak mereka.

"Pemberian konsesi baru sebagai pampasan untuk konsesi yang dikeluarkan secara salah bertentangan dengan pentadbiran yang baik dan menimbulkan kebimbangan tentang niat sebenar pampasan konsesi pembalakan yang diberikan," katanya.

Terdahulu, Sanusi berkata kerajaan negeri berhadapan tuntutan pampasan sebanyak RM1 bilion daripada 40 syarikat pembalakan.

Beliau kemudiannya menyemak semula angka berkenaan dan mengatakan ia berjumlah RM1.5 bilion.

Sanusi berkata tuntutan tersebut melibatkan 131 konsesi di kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda.

Konsesi berkenaan diberikan ketika pentadbiran PAS antara tahun 2008 dan 2013, namun digantung selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri.

PAS kini kembali mentadbir Kedah melalui gabungan Perikatan Nasional (PH) dan mempertimbangkan untuk membayar pampasan kepada syarikat pembalakan dengan menggantikan kawasan pembalakan lain kepada mereka.

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahahtir bagaimanapun mempertikaikan dakwaan Sanusi dan mengatakan tidak ada syarikat pembalakan membuat tuntutan sedemikian.

"Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan untuk meluluskan konsesi," katanya.

Sementara itu, Sabrina berkata kerajaan negeri bertanggungjawab mematuhi komitmen di peringkat antarabangsa dalam memastikan 50 peratus litupan hutan dan pembangunan lestari.

Namun berpandukan perangkaan rasmi Jabatan Perhutanan menunjukkan Malaysia Barat hanya mempunyai baki 43 peratus litupan hutan.

Katanya, membenarkan penebangan hutan juga boleh menyebabkan Malaysia terdedah kepada bencana alam dan mengancam sumber air seperti berlaku di negeri-negeri lain.

"Kerajaan negeri sepatutnya tidak membenarkan pembalakan di Kedah sebaliknya mempertingkatkan usaha untuk memelihara hutan sedia ada dan penghutanan semula," katanya.

Beliau menggesa kerajaan Kedah mengkaji lebih lanjut tentang kedudukan undang-undang negeri dalam hal ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Mengurus sebuah negeri sememangnya penuh dengan dugaan dan rintangan, tetapi kerajaan negeri tidak boleh mengambil jalan mudah dengan hanya memberi perhatian kepada kepentingan pihak tertentu tetapi seharusnya berikhtiar untuk mencari penyelesaian yang adil dan saksama untuk kebaikan bersama," tegasnya.

Lihat Komen
ADS