Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tanah runtuh: Tujuh rumah di Taman Kelab Ukay retak

Penghuni tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur, diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.21 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada 2.33 pagi.

“Seramai 40 penghuni di tujuh rumah berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan terdapat keretakan di bahagian belakang rumah mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata setakat ini semua penghuni tidak dibenarkan berada di kediaman masing-masing sehingga pihak berkuasa tempatan memutuskan tindakan selanjutnya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku susulan hujan berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati penghuni rumah teres dua tingkat berkenaan berteduh di kawasan lapang di hadapan kediaman mereka sementara menunggu kerja pemasangan khemah dilakukan oleh Majlis Perbadanan Ampang Jaya (MPAJ).

Pemerhatian juga mendapati tanah runtuh itu berlaku kira-kira dua meter dari belakang rumah penduduk terlibat di sebuah jalan di taman perumahan berkenaan.

Terdapat rumah yang mengalami keretakan agak teruk di bahagian belakang dan ada juga lantai dapur yang mendap.

Pihak bomba turut memasang kanvas di kawasan tanah runtuh tersebut bagi mengelak runtuhan tanah daripada terus berlaku.

Sementara itu, seorang penduduk Amirul Al Jufri Abdul hamid, 27, berkata dia menyedari kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya kira-kira 2 pagi apabila terdengar bunyi pokok tumbang.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama empat lagi ahli keluarga sedang tidur dan bergegas keluar menyelamatkan diri selepas mendapati berlaku kejadian tanah runtuh di bahagian dapur rumah.

"Ini kejadian tanah runtuh paling buruk pernah berlaku kerana sebelum ini hanya kecil dan ada penduduk di sini yang mengambil insiatif memasang benteng atau penghadang bagi mengelak mendapan tanah atau sebagainya," kata beliau yang sudah menghuni di kawasan itu lebih 23 tahun.

Bagi Sharifah Sawandin, 48, panggilan telefon daripada jirannya kira-kira 1.30 pagi mengejutkan mereka sekeluarga apabila dimaklumkan berlaku tanah runtuh di belakang rumahnya.

"Ketika kejadian kami lima beranak sedang tidur dan jiran menyuruh kami membawa barang keluar, selamatkan diri," katanya.

Beliau berkata mereka sekeluarga akur dengan arahan pihak berkuasa supaya penduduk terjejas berpindah sementara operasi membaik pulih dijalankan. 

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS