Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN tak begitu stabil, masa depan sukar diramal - Mustafa
Diterbitkan:  May 31, 2020 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sukar diramalkan kerana ia belum benar-benar diuji, kata seorang ahli politik veteran dari PAS.

Bekas setiausaha agung PAS, Mustafa Ali, mendakwa selepas lebih dua bulan mengambil alih Putrajaya, kerajaan PN dilihat tidak begitu stabil dan kemampuannya bertahan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang menjadi tanda tanya.

"Beginilah, kedudukan (PN) saya sebut secara umum. Di mana proses-proses politik ini masih bergerak di Malaysia ini, satu kedudukan yang memang tidak begitu stabil.

"Jadi kita kena tunggu lagi, perkembangan masih berjalan, dinamika politik ini masih berterusan dan tiada siapa boleh menjangka secara pasti apa yang boleh berlaku, boleh jadi macam-macam," katanya seperti dilaporkan Sinar Online, hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penasihat PAS berkata demikian ketika ditanya sama ada kemelut melanda Bersatu membabitkan kem Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad mampu memberi kesan kepada kestabilan PN.

Untuk rekod PN merupakan gabungan melibatkan sebahagian besar daripada pemimpin Bersatu - yang dipimpin Muhyiddin - bekerjasama dengan BN serta Muafakat Nasional.

Tidak seperti Muafakat Nasional atau BN, PN bukanlah entiti yang berdaftar secara rasmi mengikut undang-undang negara.

Terdahulu, Mahathir dan empat ahli parlimen Bersatu didakwa tergugur keahlian masing-masing daripada Bersatu kerana berada bersama blok pembangkang pada sidang parlimen baru-baru ini.

Pun begitu pengkritik mempertikaikan keabsahan langkah berkenaan apabila disandarkan kepada peruntukan Perlembagaan Bersatu.

Kata Mustafa, nasib dan kedudukan PN akan bergantung kepada proses yang sedang berjalan ketika ini.

Walaupun mendakwa tidak mengikuti secara dekat kemelut dalaman Bersatu, beliau berkata, proses politik yang tidak stabil mampu memberi kesan kepada kerajaan PN.

"PN ini masih baharu dan belum diuji sepenuhnya sama ada mampu atau tidak PN bertahan sehingga PRU ke-15. Ia juga bergantung kepada proses yang sedang berjalan ketika ini," katanya.

Sementara itu bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata pergolakan dalaman Bersatu tidak akan memberi masalah kepada BN dan Muafakat Nasional.

Menyatakan pandangan melalui ciapan di Twitter, beliau berkata mereka akan tetap menyokong kepimpinan perdana menteri dan memberikan tumpuan kepada agenda membela rakyat.

"Cukuplah berpolitik memanjang!" ciapnya lagi.

 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS