Malaysiakini
BERITA

Tunjuk perasaan di Rumah Putih, polis lepaskan peluru getah, gas pemedih mata

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jun 2020, 4:01 pagi

GLOBAL l Polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman berhampiran Rumah Putih.

Pada masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikrar untuk menamatkan bantahan susulan kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd yang kemudiannya bertukar menjadi ganas.

Polis termasuk anggota unit berkuda, bertindak menuyraikan penunjuk perasaan di Lafayette Park, bersebelahan jalan dari Rumah Putih ketika Trump membuat kenyataannya dari Rose Garden.

Presiden itu berikrar akan menamatkan enam malam penjarahan dan keganasan di bandar-bandar besar di seluruh negara "sekarang," dengan berkata bahawa beliau akan mengerahkan tentera AS untuk bertindak jika gabenor negeri-negeri enggan berkerjasama.

"Datuk bandar dan gabernor harus menguatkuasakan undang-undang hingga keganasan dapat ditamatkan.

"Sekiranya sesebuah bandar atau negeri menolak untuk mengambil tindakan yang diperlukan untuk mempertahankan nyawa dan harta benda penduduknya, maka saya akan mengerahkan tentera Amerika Syarikat supaya dengan cepat menyelesaikan masalah bagi mereka,” katanya.

Tindakan polis ke atas penunjuk perasaan itu membuka jalan bagi Trump untuk berjalan kaki dari Rumah Putih ke Gereja St. John’s Episcopal yang berhampiran bersama pegawai lain termasuk Peguam Negara William Barr.

Trump juga sempat bergambar di hadapan gereja, yang mengalami kerosakan kecil pada malam sebelumnya, sambil memegang Bible.

Trump sebelum ini dikritik berikutan tindakannya berdiam diri terhadap krisis berkenaan.

Beliau turut mengecam tindakan protes yang disifatkannya satu penghinaan dan meminta gabenor untuk mengambil tindakan.

Floyd meninggal dunia pada 27 Mei setelah seorang anggota polis melutut di leher lelaki berusia 46 tahun itu selama hampir sembilan minit. Dia menjadi tidak responsif setelah hampir tiga minit.

Kematiannya, yang dirakam dalam rakaman telefon bimbit menimbulkan kemarahan lama terhadap pembunuhan polis terhadap Amerika Afrika, dan mengulangi kes-kes berprofil tinggi yang mendorong pergerakan Black Lives Matter seperti penembakan Michael Brown di Ferguson, Missouri dan Eric Garner di New York.

Kemarahan di seluruh negara mencetuskan bantahan, tunjuk perasaan dan rusuhan - banyak yang bertukar menjadi ganas - meletus di lebih 140 bandar pada hujung minggu.

- Reuters

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.