Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Protokol keselamatan ada untuk lindungi pekerja, kata UEM Edgenta
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 10:35 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Syarikat UEM Edgenta Bhd berkata mereka mempunyai protokol tertentu bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerjanya, ekoran protes yang tercetus membabitkan ahli kesatuan pekerja serta dakwaan terdapat kekurangan bekalan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE).

Syarikat itu turut mendakwa mereka mempunyai saluran komunikasi dan komited untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan pekerjanya secara aman.

“Syarikat ingin memberi jaminan bahawa kami menjalankan tindakan dan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja kami sepanjang pandemik Covid-19, serta pelaksanaan protokol keselamatan kami selari dengan piawaian ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk semua hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan di Malaysia yang terlibat merawat pesakit Covid-19.

“Sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab korporat syarikat bersama pemegang taruh utama, UEM Edgenta menyediakan pelbagai saluran komunikasi untuk pekerja bagi menggalakkan komunikasi yang berkesan, selain komited menyelesaikan masalah dalaman yang memberi kesan kepada pekerja menerusi pendekatan secara aman, dengan turut melibatkan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Buruh sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siang tadi anggota Kesatuan Nasional Untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidatan Bersekutu (NUWHSAS) mengadakan protes terhadap Edgenta UEMS Sdn Bhd di hadapan Hospital Raja Permaisudi Bainun di Ipoh, Perak.

Edgenta UEMS yang merupakan penyedia perkhidmatan pembersihan hospital, adalah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh UEM Edgenta.

Polis kemudian meleraikan protes itu dan menahan lima orang, termasuk tiga pegawai NUWHSAS dan dua anggota Parti Sosialis Malaysia.

NUWHSAS itu mendakwa Edgenta UEMS secara sepihak menukar waktu bekerja pekerja atau memindahkan mereka ke tempat kerja yang jauh dari rumah, selain melarang jawatankuasa tempat kerja kesatuan daripada berbincang dengan pekerja, meskipun ketika waktu rehat.

Mereka turut mendakwa kelengkapan PPE yang dibekalkan tidak memadai meskipun buat pekerja yang ditugaskan membersihkan wad pesakit Covid-19, selain elaun bulanan RM600 buat petugas barisan hadapan dinafikan.

Kata mereka, pekerja hanya menerima bayaran RM300 yang dibayar sekali sahaja.

Sementara itu, UEM Edgenta berkata lebih daripada 10 orang hadir dalam protes berkenaan.

Katanya, hal itu menyebabkan pihak pengurusan hospital melaporkan perhimpunan tersebut kepada pihak berkuasa kerana diadakan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS