Paling Popular
Terkini

ULASAN | Sewaktu perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin, mengumumkan barisan menteri kabinet beliau pada 9 Mac lalu, satu kelainan yang menarik ditonjolkan beliau bagi portfolio agama. Buat julung-julung kalinya, seorang mufti Wilayah Persekutuan ‘dinaikkan pangkat’ menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Apa punca sebenar yang menyebabkan Dr Zulkifli Mohamad menerima tawaran jawatan sebagai menteri agama tidaklah diketahui sehingga ke saat ini.

Walaupun ramai yang memuji kredibiliti beliau (berbanding penyandang sebelumnya yang tidak pernah sunyi daripada ‘dilanyak’ di segenap penjuru), tidak kurang juga ada yang meluahkan rasa bimbang.

Hal itu kerana ketika ini mufti kesayangan mereka terdedah - dan sudah pun terdedah - dengan serangan ganas politik. Menjadi menteri dan ahli politik, memang begitulah lumrahnya.

Lebih membimbangkan lagi, bagaimana seorang mufti boleh menghalalkan dirinya untuk menjadi menteri agama dalam sebuah kerajaan yang menafikan mandat rakyat dan keabsahannya masih dipersoalkan sehingga kini?

Mengizinkan diri menyarung jubah politik (walaupun dalam pengumuman terawalnya Zulkifli mengisytiharkan dirinya sebagai non-partisan), pasti akan mendedahkan beliau dengan implikasi politik.

Menteri agama itu bernasib baik kerana beliau banyak diselamatkan oleh rasa hormat orang awam - juga para politikus - terhadap reputasi yang dibinanya sebelum menyertai kabinet Muhyiddin.

Lebih bernasib baik lagi, wabak Covid-19 sedang menuju kemuncak sebaik sahaja beliau menyarung jubah sebagai menteri agama. Justeru tumpuan umum lebih terhala ke arah kekalutan rakan-rakan menteri beliau termasuk ekoran kenyataan mengenai air suam bagi melawan koronavirus, kebahagiaan rumah tangga yang disandarkan kepada Doraemon dan saranan pertandingan TikTok untuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Apa status aduan polis

Betul, Zulkifli tidak mengambil masa yang lama untuk melancarkan inisiatif Musaadah Covid-19 yang menggembleng bantuan untuk mereka yang memerlukan melalui kerjasama agensi-agensi di bawah JPM.

Untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih dua bulan ini, beliau boleh dikira terselamat daripada polemik politik apabila beliau lebih banyak menumpukan usaha terhadap kerja-kerja bantuan berkenaan.

Namun begitu, beliau masih terkena 'getah nangka' apabila sejumlah laporan polis dibuat ke atasnya ekoran ada dakwaan berlaku pelanggaran peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana dilihat ke sana ke sini melakukan pelbagai aktiviti tanpa melakukan penjarakan sosial seperti sepatutnya.

Sehingga ke hari ini sudah tiga minggu berlalu dan status siasatan polis terhadap laporan polis berkenaan masih tidak diketahui.

Gambar fail

Mungkin sebagai bekas mufti Zulkifli lebih bernasib baik berbanding salah seorang timbalan menteri kesihatan bersama exco kanan Perak yang didenda RM1,000 kerana melanggar PKP dulu.

Sebahagian aktiviti ‘ke sana ke sini’ Zulkifli sememangnya menimbulkan tanda tanya. Misalnya apa kewajaran beliau menerima kunjungan "Binti Ahmad Zahid" di pejabat Menteri? Apakah kerana orang itu berbintikan Ahmad Zahid maka menteri agama berkewajipan untuk melayan tetamu yang tidak ada kepentingan mendesak pun kerana kita sedang berdepan dengan PKP?

Bagaimana pula dengan mesyuarat bersama sekumpulan agamawan atas nama projek Kutub Sittah (berdasarkan foto sememangnya penjarakan sosial tidak diamalkan). Sejak bila pula menteri agama tugasnya menulis buku pada musim PKP?

Tidak ada sebarang penjelasan dari pejabat JPM mengenai isu berkenaan.

Ada tak perlu diuar-uarkan 

Sesekali (malah sebenarnya selalu juga), Zulkifli dilihat masih terkeliru untuk berperanan sebagai menteri agama berbanding tugas lamanya sebagai mufti. Mufti bukanlah menteri agama, dan menteri agama tentulah bukan mufti.

Zulkifli kelihatan lebih gemar melayan persoalan hukum-hakam oleh wartawan sedangkan sebagai menteri agama, rasanya tidak perlulah soalan-soalan sebegitu dijawab.

Ketika Ramadan yang lalu, menteri agama melawat banduan akhir di Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh. Ia memang rutin yang Zulkifli sewaktu menjadi mufti.

Sekali lagi seorang menteri agama, bukan kerjanya memberi nasihat kepada banduan akhir. Kalau mahu dilakukan juga tak perlulah sebarkan liputan lawatan tersebut di media massa.

Ayat syahdu kepada para banduan: "Doakan saya jadi menteri yang buat kerja kerana Allah" juga berbunyi lewah dan sedikit mengada-ada.

Kelas-kelas pengajian agama dalam talian oleh Zulkifli pula masih diteruskan setiap hari. Ia tidaklah bermasalah asalkan sahaja kerja hakiki beliau sebagai menteri agama dilunaskan.

Mungkin kerana mahu dilihat telah mencuba, Zulkifli mengeluarkan kad laporannya untuk bulan pertama. (Bulan pertama pun sudah ada kad laporan? Tidakkah terlalu mencuba namanya?) Namun inisiatif-inisiatif yang dinyatakan dalam kad laporan itu lebih banyak menimbulkan persoalan. Malah tidak ada apa-apa inti utama pun.

Perhatikan seperti berikut:

1. Musaadah Covid-19 bukanlah satu pencapaian dalam pentadbiran agama Islam kerajaan sebaliknya merupakan inisiatif ad hoc.

2. Hubungan antara agama tidak ada apa-apa perubahan pun selain menyelitkan petikan temubual menteri agama dengan akhbar The Star.

3. Empat kali mesyuarat khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam. Apa signifikannya untuk memberitahu menteri agama buat mesyuarat?

4. 'Pencapaian’ penampakan anak bulan (hilal) termuda oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut dilaporkan. Ini bolehlah dianggap paling melucukan. Pencapaian apakah ini dan apa kepentingannya dalam pentadbiran agama Islam di Malaysia? Sekali lagi: tidakkah ini terlalu mencuba namanya?

Zulkifli juga terlalu mencuba apabila memuji rakyat yang beratur panjang di kedai pajak gadai Islam (ar-Rahnu) untuk menggadai barang kemas masing-masing. Kononnya tahap literasi mereka kepada kewangan Islam tinggi.

Dapat kelulusan Majlis Raja-raja 

Hantaran Zulkifli di media sosial tidak mengambil masa yang lama untuk dikecam oleh warga maya kerana dilihat tidak sensitif dengan kesulitan masyarakat yang terjejas sumber kewangan atau pendapatan ekoran pelaksanaan PKP.

Itu belum lagi kecaman remeh seperti gaya tidak profesional beliau yang ke sana ke sini dengan hanya berselipar waima untuk majlis-majlis rasmi di pejabat. Aksi berterusan beliau duduk bersila di atas sofa sewaktu menerima kunjungan tetamu di pejabat menteri juga menimbulkan persoalan.

Gambar-gambar itu terpampang jelas di dalam media sosial kepunyaan Zulkifli selain turut disiarkan oleh media massa.

Sampai bila agaknya Zulkifli boleh bertahan dengan naratif Musaadah Covid-19 dan aktiviti ‘ke sana ke sini’ itu tidaklah dapat kita ketahui. Apa yang pasti, pakej Musaadah Covid-19 serta rasa hormat bercampur segan terhadap beliau semata-mata tidak boleh membawa bahtera institusi Islam kita ke mana-mana.

Sehingga ke hari ini kita masih tertanya-tanya mahu ke mana dibawa hala tuju pentadbiran Islam di Malaysia?

Selaku menteri agama bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN), Zulkifli dilihat menjauhkan diri daripada slogan Rahmatan lil ‘Alamin (RLA) hasil inisiatif menteri sebelumnya.

Namun dasar RLA bukanlah dasar politik mainan mulut (walaupun sering dimomokkan oleh pembangkang ketika itu), sebaliknya merupakan dasar rasmi kerajaan yang diluluskan oleh Majlis Raja-raja.

Apakah dasar RLA itu salah atau terpesong sehingga Zulkifli tidak mahu lagi mempromosikannya? Atau kerajaan PN sudah alergik dengan frasa rahmat untuk sekalian alam?

Terbaru Zulkifli membawa slogan versi beliau pula: al-amr (kemahiran komunikasi), al-amanah (akauntabiliti), ahliyyah (kepakaran), al-hukm (kemahiran membuat keputusan) dan al-‘adl (keadilan).

Mengapa jargon-jargon baru ini hendak dilonggokkan lagi kepada masyarakat setelah rakyat masih belum ‘hilang lelah’ dengan slogan RLA?

Menteri agama kita bernasib baik kerana pembangkang tidak pernah menyerangnya - kecuali seorang dua ahli parlimen yang mempertikaikan penglibatan beliau dalam kerajaan tebuk atap.

Mungkin juga ini satu timbal balas kerana Zulkifli juga tidak pernah menyerang pembangkang, malah lantikan di agensi-agensi agama pada zaman Pakatan Harapan (PH) masih dikekal sehingga kini.

Menteri Agama juga dilihat belum lagi membuat apa-apa lantikan politik sebagai anggota kabinet PN. Apakah lantikan untuk agensi-agensi agama juga bersifat non partisan seperti menterinya juga?

Kita masih tertunggu-tunggu apa perkembangan pemerkasaan undang-undang syariah dan mahkamah Syariah, wakaf dan baitulmal, status guru Kafa dan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Status laporan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam di bawah Majlis Raja-raja yang sudah lebih setahun siap masih tiada khabar berita. (Kebetulan pula salah seorang ahli majlis itu kini merupakan setiausaha politik Zulkifli sendiri).

Pentadbiran Lembaga Tabung Haji yang kononnya rosak bagai langit hendak runtuh digegerkan oleh Ketua Pemuda Umno nampaknya kini senyap sepi, sedangkan pengurusan sekarang adalah sama dengan apa yang dilantik kerajaan PH.

Setelah tiga bulan berlalu, kita masih tertanya-tanya mengenai hala tuju pentadbiran Islam di bawah Zulkifli . Walaupun cetak biru (blueprint) itu dijanjikan ada, tetapi berdasarkan gerak kerja beliau dan agensi-agensi agama di bawahnya, mereka kelihatan sedang ‘berlari setempat’ dan belum mengorak apa-apa langkah signifikan lagi.

Apakah untuk bulan-bulan mendatang ini kita hanya akan disuakan dengan himpunan kelas-kelas pengajian agama dalam talian seperti mana amalan Zulkifli sewaktu bergelar mufti Wilayah Persekutuan?


ABU AMMAR AN-NADI merupakan pembaca Malaysiakini yang percaya tugas menteri agama bukanlah memberi kuliah Maghrib semata-mata.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS