Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KPM keluar garis panduan buka semula sekolah
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 1:33 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Hanya pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula.

Sementara yang lain pula akan menjalani pembelajaran dari rumah sehingga dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam garis panduan baru yang dikeluarkan untuk pembukaan semula sekolah, sesi persekolahan hanya untuk pelajar Tingkatan Lima yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), dan pelajar Tingkatan Enam yang mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM ) dan Sijil Tinggi Agama Islam Malaysia (STAM), serta semua peperiksaan antarabangsa yang setara.

Home-based learning untuk peringkat yang lain sehingga dimaklumkan KPM. Pertandingan ko akademik dan ko kurikulum (akan dibuat secara) dalam talian,” menurut garis panduan itu.

Bagaimanapun, semua kakitangan sekolah dijangka akan kembali bekerja sebaik sekolah dibuka semula.

Semua aktiviti dibenarkan, kata garis panduan itu lagi, kecuali untuk sukan, aktiviti kokurikulum bersemuka dan sebarang bentuk perhimpunan sekolah atau aktiviti yang melibatkan murid, guru dan warga sekolah berkumpul beramai-ramai.

Sekolah satu sesi akan bermula dari jam tujuh pagi hingga empat petang, sementara sekolah dua sesi akan beroperasi dari jam tujuh pagi hingga 6.45 petang. Mereka yang mempunyai urusan di sekolah akan dibenarkan masuk dari jam lapan pagi hingga 5.30 petang.

 Protokol yang dikeluarkan dalam garis panduan ini merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera.

Suhu badan setiap orang di sekolah, termasuk guru, pelajar dan pekerja kontrak, mesti diambil dan direkodkan.

“(Sekolah mesti) memastikan semua murid, guru dan warga sekolah melalui saringan status kesihatan dilaksanakan setiap hari di lokasi yang ditetapkan sebelum sesi persekolahan bermula.

"Pemeriksaan ini juga dilakukan untuk mereka yang mempunyai urusan di sekolah.

"Mereka dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcisu dan menunjukkan gejala seperti sakit tekak, batuk dan kesukaran bernafas tidak akan dibenarkan masuk ke premis sekolah," kata panduan itu.

Bagaimanapun Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata pihaknya sedar ada pelajar yang berjalan kaki atau menunggang basikal ke sekolah, justeru suhu badan mereka mungkin sedikit melebihi 37.5 darjah Celcius.

"...Maka pelajar ini akan diminta rehat terlebih dahulu bagi memastikan suhu badan mereka turun sebelum diperiksa sekali lagi.

"Setiap sekolah perlu ada bilik pengasingan. Jika pelajar menunjukkan sebarang simptom mereka akan dibawa ke sana dan pihak sekolah, selain menghubungi ibu bapa, juga akan menghubungi pusat kesihatan terdekat untuk tindakan selanjutnya," katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Dalam pada itu, garis panduan itu menyebut sekolah mesti menjaga kebersihan dan keselamatan, dan sanitasi harus dilakukan jika terdapat kes Covid-19 di sekolah-sekolah seperti yang disahkan oleh Pejabat Daerah Kesihatan.

Sekolah juga harus memastikan mereka mengumumkan prosedur kebersihan dan keselamatan pada waktu pagi, semasa rehat dan sebelum berakhir sesi persekolahan setiap hari.

Peringatan ini perlu berterusan sepanjang sesi persekolahan.

Sementara itu, pekerja dan mereka yang mempunyai urusan di sekolah harus memuat turun dan berdaftar di aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing untuk pengesanan kontak rapat.

Semalam, Radzi berkata garis panduan tersebut digubal dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau juga menegaskan bahawa belum terdapat tarikh yang ditetapkan untuk pembukaan sekolah lagi dan sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan MKN untuk memutuskan perkara tersebut.

Lihat Komen
ADS