Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pertemuan pemimpin PH dengan Dr M tak rasmi, kami kekal kukuh - Saifuddin

Pertemuan beberapa pemimpin Pakatan Harapan dengan bekas pengerusi gabungan Dr Mahathir Mohamad petang tadi di Yayasan Al- Bukhary, Kuala Lumpur adalah tidak rasmi, kata Ketua Setiausaha Majlis Sekretariat PH Saifuddin Nasution.

Menurutnya, gabungan PH masih kukuh dan akan membuat semua keputusan berasaskan konsensus.

"Pertemuan petang tadi tidak rasmi. Jadi, PKR tidak ambil bahagian kerana kami sibuk dengan tugas masing-masing.

"Kami kekal kukuh. Mereka (pemimpin PH) berhak berjumpa sesiapa sahaja demi kepentingan bersama PH. Kami hormat dan mengambil kira pandangan semua orang," kata Saifuddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas ketidakhadiran pemimpin PKR pada pertemuan petang tadi antara pengerusi Bersatu yang dipertikai Dr Mahathir bertemu dengan beberapa pemimpin PH.

Bagaimanapun, tiada kelibat pemimpin PKR dilihat dalam pertemuan tersebut.

Pembantu bekas perdana menteri Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin berkongsi gambar pertemuan itu di Facebook.

Kelihatan di dalam gambar ialah Dr Mahathir, timbalan presiden Bersatu yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahaya yang mengaku masih setiausaha agung parti itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Warisan Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Sementara itu, Saifuddin yang setiausaha agung PKR mengesahkan presiden partinya Anwar Ibrahim telah mengadakan satu pertemuan bersama pemimpin PH di kediamannya, Segambut Dalam, Kuala Lumpur malam tadi.

"Ya, kami mengadakan pertemuan di kediaman Datuk Seri Anwar.

"Pertemuan ini adalah untuk mengulangi komitmen untuk bersama mengukuhkan Pakatan Harapan dalam membuat setiap keputusan dan tindakan politik," katanya.

Beberapa keping gambar yang diambil dalam pertemuan itu turut dikongsi di Facebook Pakatan Harapan dengan garis tanda "InshaAllah perubahan besar dalam masa terdekat"

Kelihatan Anwar berbincang bersama, Mat Sabu, Guan Eng, Anthony Loke dan Saifuddin Nasution.

"Semua keputusan besar akan dibuat secara konsensus.

"Pengukuhan PH adalah keutamaan kami," kata Saifuddin.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS