Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM siasat kemungkinan salah guna kuasa dalam PUNB
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 9:44 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat bekas pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dalam perolehan syarikat, antaranya melibatkan perolehan buku.

Siasatan dalaman mendapati pembelian 20,000 naskhah buku mengenai bekas perdana menteri Najib Razak bernilai RM40,000 tidak mematuhi proses dan tatacara perolehan PUNB.

Menurut laporan The Malaysian Insight (TMI) yang memetik laporan berkenaan, penerbit buku itu didapati mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli lembaga pengarah PUNB.

Sumber SPRM mengesahkan suruhanjaya itu sedang menyiasat kes tersebut.

“Laporan itu sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami menunggu arahan lanjut sama ada kes ini akan didakwa atau tidak,” kata sumber tersebut seperti dipetik TMI.

Tidak ada bukti jelas yang menunjukkan penerbit telah menyerahkan kesemua 20,000 buku berkenaan kepada PUNB.

Menurut laporan itu juga, ada bukti menunjukkan PUNB mengarahkan pelupusan 1,000 naskhah buku berkenaan tanpa alasan yang jelas.

Ibu pejabat PUNB di Kuala Lumpur diserbu SPRM berhubung projek penerbitan buku itu pada Mei 2018.

Siasatan dalaman tersebut dilakukan oleh sebuah firma perakaunan sejak hujung Oktober 2018, dan laporannya siap pada Julai 2019.

PUNB melakukan siasatan terhadap penyalahgunaan dan penyelewengan dalam perolehan syarikat, melibatkan kontrak, pinjaman serta jual beli hartanah yang keseluruhannya bernilai lebih RM10 juta ringgit.

Bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam, yang menerajui PUNB sejak Ogos 2013, meletak jawatan pada Jun 2018, dua bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

Turut melepaskan jawatan, dua orang ahli lembaga pengarah, Jamelah A Bakar dan Hasbullah Wa David.

Siasatan dalam itu turut mendedahkan pembangunan dan jual beli hartanah dilakukan menerusi sebuah anak syarikat yang ditubuhkan tanpa kelulusan kementerian kewangan dan Yayasan Pembangunan Bumiputera (YPB).

Ia turut mendapati PUNB mengeluarkan kontrak pengurusan projek ubah ubah suai 12 pejabat cawangannya di seluruh Malaysia kepada sebuah firma arkitek tanpa melalui proses yang wajar.

PUNB ditubuhkan pada 1991 untuk pembangunan usahawan bumiputera di Malaysia.

Malaysiakini sudah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan maklum balasnya mengenai hal ini.

Lihat Komen
ADS