Malaysia diisytihar bebas selesema burung
Malaysia diisytiharkan bebas daripada penyakit selesema burung atau virus H5N1, yang mula dikesan buat kali kedua di negara ini pada awal tahun ini.
Malaysia diisytiharkan bebas daripada penyakit selesema burung atau virus H5N1, yang mula dikesan buat kali kedua di negara ini pada awal tahun ini.
Bagaimanapun langkah pencegahan iaitu larangan import ayam, itik, unggas, telur dan produknya yang mentah dari negara-negara yang mengalami wabak berkenaan masih diteruskan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengisytiharaan dibuat berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) yang menetapkan sesuatu kawasan atau wilayah bebas dari wabak berkenaan jika dalam tempoh tiga bulan dari pemusnahan dan disinfeksi terakhir dijalankan tiada berlaku jangkitan baru.
Katanya pengisytiharaan itu berkuatkuasa semalam.
"Berpandukan piawai OIE dan juga keputusan pemantauan yang dijalankan, tempoh tiga bulan atau 90 hari tersebut telahpun dilepasi, maka Malaysia dengan ini diisytiharkan bebas daripada penyakit H5N1 atau selesema burung," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata laporan terakhir kepada OIE telah dihantar pada 19 Jun lepas.
Menurut laporan Bernama, kes pertama wabak H5N1 pada tahun ini dikesan di Kampung Pasir Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur pada 19 Februari lepas, diikuti kejadian kedua pada 16 Mac lalu di Kampung Changkat Tualang, Perak dan di Ecopark, Bukit Merah Lake Town Resort juga di Perak.
Kejadian ketiga dilaporkan di Kampung Permatang Bogak, Seberang Perai Utara pada 20 Mac 2006. Ia juga dikesan pada unggas dan ayam di Titi Gantung, Perak pada 21 Mac lalu.
Muhyiddin berkata kejayaan membasmi serangan selesema burung buat kali kedua di negara ini dicapai hasil usaha gigih kakitangan kementerian khususnya dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan juga sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Dewan Bandaraya, Pihak Berkuasa Tempatan, polis, imigresen, kastam serta penternak, pengimport, media dan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, langkah berjaga-jaga perlu diteruskan memandangkan negara jiran masih lagi belum bebas daripada wabak selesema burung kerana ini boleh memberi risiko tinggi kepada Malaysia.
"Larangan import terhadap semua ayam, itik, unggas, telur dan produknya dari negara jiran masih berkuatkuasa. Unggas dan produk berkaitan yang cuba dibawa masuk akan dirampas dan dimusnahkan," katanya.
Beliau juga berkata pemantauan akan diteruskan bagi mengesan awal jika berlakunya penularan semula penyakit itu manakala pihak industri perlu mengambil tindakan seperti membina reban tertutup atau memasang jaring yang boleh mencegah burung liar memasuki reban dan ladang.
"Penduduk desa dan kampung juga perlu membina reban dan tidak membiarkan ayam kampung lepas bebas dan terdedah kepada risiko penularan jangkitan, dan jika berlaku kematian ayam, itik dan unggas dalam keadaan yang banyak, penternak dan orang awam perlu melaporkan terus kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan," kata Muhyiddin.
Beliau berkata dengan pengisytiharaan ini, industri ternakan dijangka pulih seperti sediakala terutama pengimportan bekalan ayam oleh Singapura.
"Kita sudah berhubung dengan pihak Singapura dan memaklumkan bahawa mereka sekarang boleh mengimport semula, seperti itik dari Perak," katanya.
Mengulas mengenai pembayaran sagu hati kepada tuan punya ayam, itik, burung dan telur yang telah dimusnahkan, Muhyiddin berkata RM230,000 telah diberikan kepada 703 penternak setakat ini.
Sejumlah RM220,000 lagi belum diberikan kepada tiga pihak terdiri pemilik Ecopark, pengusaha dan sebuah institut, yang akan dibuat secara berperingkat.
Sejumlah 58,457 ternakan unggas dan 8,437 biji telur telah dimusnahkan di lima zon jangkitan. Sebanyak 25,442 ekor daripadanya adalah ayam, 32,029 itik dan 986 pelbagai jenis burung.

