Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

KES SRC | Perbicaraan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak atas dakwaan berhubung RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akhirnya akan selesai pada 28 Julai.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini memutuskan bahawa dia akan menyampaikan keputusannya pada pukul 10 pagi pada hari itu.

Perbicaraan telah berlangsung selama 94 hari dengan penyerahan akhir berlangsung dalam jangka masa tiga hari dan berakhir hanya sekitar pukul 1 tengah hari, hari ini.

Keputusan itu akan menandakan selesainya kes pertama dari beberapa perbicaraan terhadap Najib berhubung 1MDB - subjek yang telah menyebabkan pendakwaan ahli perbankan di seluruh dunia atas jenayah kewangan.

SRC International sebelumnya merupakan anak syarikat 1MDB sebelum diserap ke Kementerian Kewangan Diperbadankan pada tahun 2012.

Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah sebuah entiti yang dikendalikan oleh Najib yang ketika itu merupakan menteri kewangan.

Najib sebelum ini didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk menerima RM42 juta sebagai ganti untuk jaminan kerajaan atas pinjaman RM4 bilion oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.

Najib juga didakwa dengan tiga tuduhan jenayah pecah amanah ke atas wang yang dihantar ke akaun bank peribadinya dalam tiga tahap.

Selain itu, Najib didakwa dengan tiga tuduhan melanggar undang-undang pengubahan wang haram.

Untuk setiap kesalahan, Najib boleh dipenjara hingga 20 tahun, kecuali tuduhan pengubahan wang haram yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun.

Awal hari ini, pihak pembelaan mengemukakan bahawa walaupun wang memang disalahgunakan dari SRC International, pihak pendakwaan gagal membuktikan perbuatan jenayah itu dan berniat melakukan jenayah berkenaan di pihak tertuduh.

Sebaliknya, pihak pembelaan berpendapat bahawa pelaku lain - ahli perniagaan Jho Low, lembaga SRC International dan ahli perbankan harus dipersalahkan.

Namun, pihak pendakwaan membantah dengan mengatakan bahawa tertuduh mempunyai kawalan penuh dan penguasaan atas urusan SRC International.

Kata pendakwaan, ia membawa kepada pemindahan wang KWAP ke SRC International, sebelum dipindahkan ke beberapa syarikat dan berakhir di akaun bank tertuduh dan seterusnya dibelanjakan.

Pihak pendakwaan juga menyatakan bahawa tidak ada pihak yang dipersalahkan oleh pihak pembelaan atas penyelewengan itu mengambil langkah untuk menuntut kembali dana tersebut.

Lihat Komen
ADS